Anda di sini

JPBNS diminta perhalusi semula keperluan permit rentas daerah 

Advertisement
Abdul Karim (tengah) merakamkan gambar bersama yang lain pada Program Ziarah Belia @ Samariang 2021 di Kuching hari ini. Turut kelihatan Sharifah Hasidah (tiga kiri) dan Nancy (dua kiri).
Abdul Karim (tengah) merakamkan gambar bersama yang lain pada Program Ziarah Belia @ Samariang 2021 di Kuching hari ini. Turut kelihatan Sharifah Hasidah (tiga kiri) dan Nancy (dua kiri).

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) perlu memperhalusi semula keperluan permit polis bagi tujuan rentas daerah. 

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau secara peribadi tidak begitu setuju dengaan syarat ini. 

“Saya percaya ada garis panduan (SOP) tertentu ditetapkan apabila sektor kita sudah dibuka dan permit polis tidak perlu lagi. 

“Saya difahamkan timbul banyak masalah untuk mendapatkan permit polis dan kita akan lihat perkara ini dengan terperinci,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Ziarah Belia @ Samariang 2021 di Dewan Malaysia Jaya di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Nancy Jolhi.  

Selain permit polis bagi tujuan rentas daerah, JPBNS menurut Abdul Karim juga perlu memperhalusi semula tatacara kemasukan ke Sarawak dari Semenanjung Malaysia dan Sabah. 

Katanya terlalu banyak masalah untuk individu kembali ke Sarawak, pertama permit polis, kedua kelulusan JPBNS secara dalam talian dan ketiga ujian calitan.

“Kadang-kadang tiket penerbangan hangus sebab JPBNS belum beri kelulusan ini. Perkara seperti ini perlu diperhalusi. 

“Bagi saya kalau sudah lengkap dua dos vaksin, apa yang hendak dibimbangkan lagi,” katanya. 

Mengenai pembukaan semula aktiviti pelancongan, sukan dan rekreasi di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata aktiviti yang dibenarkan di peringkat nasional juga dipanjangkan di Sarawak. 

“Pada masa ini apa yang telah diletakkan oleh pusat juga merangkumi negeri Sarawak. 

“Hanya dua tiga perkara kemungkinan memerlukan JPBNS memperhalusi, tetapi secara amnya apa yang telah diluluskan dan dibentangkan dalam Fasa 3 PPN di Semenanjung juga terpakai di sini,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement