Anda di sini

Filem Kampung Latah kena kuarantin raih kutipan lebih RM1 juta 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Filem Kampung Latah Kena Kuarantin hasil karya Pengarah Azizi Adnan dan Penerbit Hazil Izham Ismail meraih kutipan melebihi RM1 juta menerusi tayangan di platform Astro First sejak 9 September lepas.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan hari ini merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan filem terbitan Megapine (M) Sdn Bhd itu yang diterbitkan menerusi penyaluran dana kerajaan melalui FINAS di bawah peruntukan Dana Program TV/OTT FINAS dengan kerjasama Astro. 

"Kejayaan filem Kampung Latah Kena Kuarantin ini merupakan penanda aras bagi filem yang dihasilkan di bawah inisiatif Dana Program TV/OTT sekali gus berupaya menjadi pemangkin dan nilai tambah kepada pembangunan karya filem tempatan khususnya dalam aspek pengeluaran, pengedaran dan pemameran.

“FINAS berharap agar inisiatif dan kerjasama strategik dengan Astro ini akan terus membuka peluang kepada penerbit untuk menghasilkan karya filem yang berdaya cipta tinggi serta menjana pendapatan melalui pemilikan hak cipta kandungan," menurut kenyataan itu.

Kampung Latah Kena Kuarantin adalah filem tempatan pertama mengetengahkan gelagat melatah sebagai subjek utama kepada latar cerita mengisahkan tentang kehidupan penduduk Kampung Latah Permai, sebuah kampung tumpuan pelancong kerana satu-satunya lokasi di dunia dengan penduduk ‘melatah’ paling ramai. - Bernama 

Advertisement