Anda di sini

Vaksinasi 1,406 remaja 13-15 tahun di Dalat kini bermula 

Advertisement
Fatimah (tiga kanan) ketika simbolik penyerahan lesen kepada 34 nelayan dalam majlos disaksikan Bohari (dua kanan) dan Aini (kanan).
Fatimah (tiga kanan) ketika simbolik penyerahan lesen kepada 34 nelayan dalam majlis disaksikan Bohari (dua kanan) dan Aini (kanan).

MUKAH: Seramai 1,406 pelajar berusia 13 hingga 15 tahun divaksin dengan dos pertama dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk Daerah Dalat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program tersebut telah bermula hari ini (25 September) melibatkan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat.

"Program telah bermula pada hari ini (25 September) dan seterusnya di SMK Oya pada 28 September," katanya kepada Utusan Borneo.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, ia merupakan persediaan bagi sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula secara berperingkat pada Oktober nanti.

Setelah selesai proses vaksinasi, jelas beliau, pihaknya akan memastikan mereka yang tercicir turut akan mendapat vaksin menerusi program 'Mopping'.

Melalui kaedah tersebut katanya, ia akan memastikan tidak ada individu yang ketinggalan untuk mendapat vaksin COVID-19.

Mengenai penerimaan vaksin dalam kategori umur berkenaan, beliau memberitahu ia adalah perlu demi memastikan keselamatan mereka.

"Dengan suntikan vaksin ini, mereka dapat meminimumkan kesan virus dan tidak membawa mudarat walaupun jika terkena jangkitan," jelasnya lagi.

Beliau berterima kasih atas kerjasama semua pihak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keaelamatan Kampung (JKKK) di daerah itu yang sentiasa mengemas kini data penerima vaksin mengikut kawasan masing-masing dari semasa ke semasa.

Fatimah juga mengucapkan terima kasih di atas sokongan ibu bapa serta penjaga yang membenarkan anak-anak mereka untuk divaksin.

"Tanpa kerjasama itu, PICK tidak akan berupaya untuk  mencapai objektifnya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fatimah menyarankan komuniti nelayan khususnya di Oya untuk menambah baik produk hiliran perikanan mereka.

Menurutnya, ini termasuklah pembungkusan serta pemasaran produk yang dikeluarkan oleh komuniti nelayan sejak dahulu hingga sekarang seperti keropok ikan, ikan masin serta ikan kering.

"Saya percaya kita sudah ada produk yang berkualiti, namun perlu ditambah baik dari segi pembungkusan dan juga pemasarannya," katanya pada sidang media selepas Program Interaksi Bersama Komuniti Nelayan Oya yang turut dihadiri Pengerusi MyKP (Komuniti Perikanan Oya Kaunselor Aini Suhaili di sini hari ini.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Perikanan Laut Sarawak Bohari Leng, berkata, kerajaan sentiasa memikirkan cara supaya golongan nelayan tetap diberikan perhatian khas.

"Kita sentiasa adakan pelbagai program-program bagi setiap komuniti nelayan," katanya.

Jelasnya, dalam program itu, golongan nelayan akan dibantu untuk memahami pelbagai perkara baharu berkaitan bidang perikanan yang bakal membuka fikiran mereka.

Tambahnya, ini termasuklah dengan pelbagai peralatan dan kaedah moden serta berteknologi tinggi yang boleh digunakan oleh mereka ketika ini.

Advertisement