Anda di sini

Sentiasa bersiap-siaga, selesaikan kerisauan rakyat

Advertisement
KHAIRAN
KHAIRAN

PUTATAN: PAS Kawasan Putatan bimbang dengan kerisauan penduduk setempat setiap kali berlaku hujan lebat sehingga mengakibatkan bencana banjir.

Naib Yang Dipertuanya Haji Khairan Untoh menegaskan, terdapat keperluan bantuan bencana dalam kadar segera untuk disalurkan kepada mangsa bencana banjir pada setiap kali berlakunya kejadian berkenaan.

''Tindakan pantas perlu diambil pihak berwajib terhadap kerisauan penduduk yang terjejas akibat bencana banjir," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah perlu sentiasa bersiap-siaga menghadapi bencana dengan menyediakan bantuan keperluan asas serta pusat penempatan sementara.

''Sudah pasti pasca banjir akan mengakibatkan kerosakan teruk kepada tempat tinggal dan kawasan persekitaran.

"Oleh itu, adalah wajar penempatan sementara yang selesa kepada mangsa banjir perlu disediakan dengan lebih awal lagi," katanya.

Khairan juga menyarankan keperluan wujudnya pelan khusus menangani isu banjir kilat di beberapa kampung yang sering dilanda bencana itu.

Rakyat turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan berlaku.

“Sentiasa peka melalui media massa atau media sosial akan amaran berlakunya bencana banjir agar persiapan awal dapat diusahakan dengan segera," katanya.

Terdahulu PAS Kawasan Putatan melalui skuad sukarelawan Jabatan Amal Putatan dan Briged Muslimat Putatan telah turun membantu pembersihan pasca banjir di SK Sugud Penampang pada minggu lepas.

  • oleh
  • Advertisement