Anda di sini

Sabah tubuh Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat

Advertisement
 Bung ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat
MEMPENGERUSIKAN: Bung ketika mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Menangani Banjir Kilat di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pendekatan itu diambil bagi memantau bencana banjir kilat yang sering berlaku di Sabah agar satu tindakan wajar dilaksanakan untuk mengatasi masalah berkenaan.

"Objektif utama penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi menangani isu banjir kilat di Sabah khususnya di kawasan bandaraya ini dan di lain-lain daerah menerusi tindakan pemantauan, penguatkuasaan punca, tindakan jangka pandek serta jangka panjang untuk menangani isu ini.

“Selain itu, jawatankuasa ini akan menyelaraskan tindakan antara agensi menerusi bidang kuasa masing-masing supaya tindakan bersepadu dapat diambil,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusi mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan, di sini semalam.

Bung yang juga Pengerusi Jawatankuasa itu berkata, ianya akan dianggotai pelbagai agensi kerajaan antara Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan .

“Pembabitan pelbagai agensi dalam jawatankuasa pemandu ini adalah amat penting kerana isu banjir kilat bukan sesuatu masalah yang bersifat ‘silo’.

“Puncanya selain cuaca, ia juga dipengaruhi pelbagai faktor dan memerlukan tindakan bersepadu pintar serta cekap demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, jawatankuasa berkenaan akan turun ke lapangan untuk membuat kajian mengenal pasti punca banjir kilat yang sering berlaku.

Menurutnya, jawatankuasa pemandu itu juga akan mencadangkan cara mengatasi serta menyediakan anggaran kos bagi membina atau mendalamkan sungai termasuklah sistem perparitan yang perlu diperbesarkan.

"Negara berhadapan dengan tiga bencana alam utama iaitu banjir, banjir kilat dan tanah runtuh. 

"Umumnya, hujan lebat dibawa oleh angin monsun timur laut adalah faktor semula jadi yang menyebabkan bencana banjir," katanya.

Bagaimanapun katanya, dengan pengaruh faktor lain seperti aktivti pembangunan yang tidak lestari telah memburukkan lagi keadaan sehingga menyebabkan banjir di kawasan terbabit.

Bung berkata, terdapat keperluan segera untuk mengutamakan penyesuaian perubahan iklim serta pengurangan risiko bencana banjir dengan menjadikan perkara ini sebagai agenda utama dalam rancangan pembangunan.

"Langkah utama mengatasi banjir adalah dengan mempunyai dasar perancangan pelan tindakan bagi mengurangkan risiko banjir.

"Pelan ini perlu diintegrasikan dengan pelan pembangunan sosial serta ekonomi agar dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan," katanya.

Bung juga menasihati masyarakat agar sedar dan pentingnya menghargai alam semula jadi melalui interaksi lestari dalam segala aspek kehidupan.
 

Advertisement