Anda di sini

Pengimpal maut kerata dipandu terbabas

Advertisement
Keadaan kereta mangsa selepas terlibat kemalangan.
Keadaan kereta mangsa selepas terlibat kemalangan.

SARATOK: Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 30, Jalan Betong-Sarikei, Saratok, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengimpal memandu kereta terbabit bersama tiga lagi penumpang iaitu rakan sekerjanya, dipercayai terlibat dalam kemalangan yang berlaku sekitar 3 petang.

"Dalam kejadian tersebut, mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Fitri Mohd Nizam, 24, dari Betong bersama dengan tiga rakannya sedang dalam perjalanan menuju ke arah Sarikei.

"Ketika sampai di lokasi terbabit, dipercayai kereta pacuan empat roda yang dipandu laju oleh mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan berguling beberapa kali sebelum terbalik mengiring ke kiri di tepi parit jalan sebelah kanan. 

"Akibat kemalangan, pemandu  (Mohd Fitri) telah mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Jelasnya lagi, kemalangan tersebut turut menyebabkan seorang daripada rakan mangsa yang duduk di sebelah kiri kerusi belakang, luka kaki kanan dan bengkak pada mata kiri .

Sementara itu kata Mordani, dua orang lagi iaitu penumpang hadapan dan penumpang kerusi belakang kanan kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Berikutan itu, kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 41(1)  Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Manakala mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Saratok untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Advertisement