Anda di sini

Pemberian vaksin remaja 12-15 tahun diawalkan 

Advertisement
 

KUCHING: Vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 15 tahun di Sarawak dapat dilaksanakan lebih awal daripada jadual asal.

Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Dato Sri Dr Sim Kui Hian (gambar), ia berikutan Sabah telah mengembalikan vaksin jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) yang dipinjamkan oleh Sarawak kepada negeri itu sebelum ini.

“Pada mulanya, kita menjadualkan untuk memberi suntikan vaksin kepada mereka yang berumur 12 hingga 15 tahun pada bulan depan.

"Namun Sabah telah memulangkan vaksin ini kepada kita lebih awal, maka itu sebabnya kita telah mempercepatkan tarikh vaksinasi untuk kumpulan ini lebih awal (hujung September) daripada jadual asal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan replika cek berjumlah RM1.3 juta sumbangan kerajaan Sarawak kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu 4 1/2 untuk pembinaan blok kelas baru sekolah itu di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, memberikan suntikan vaksin dengan kadar segera kepada kumpulan ini merupakan langkah terbaik memandangkan Sarawak mempunyai bekalan tersebut.

“Kita telah melengkapkan vaksinasi untuk mereka yang berusia 16 dan 17 tahun dan memandangkan kita telah  
mendapat vaksin yang kita pinjamkan kepada Sabah sebelum ini, perkara paling penting untuk dilakukan adalah dengan terus menyuntik vaksin ke dalam badan golongan ini,”ujarnya.

Beliau memberitahu remaja berumur 12 hingga 15 tahun akan diberi vaksin di sekolah masing-masing atau di pusat pemberian vaksin (PPV).

“Selain Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS), saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah atas kerjasama mereka dalam menyediakan jadual vaksinasi.

"Sarawak adalah negeri pertama di seluruh Malaysia yang memulakan vaksinasi kepada kumpulan berumur 12 hingga 15 tahun berikutan kejayaan vaksinasi populasi dewasa dan mereka yang berumur 16 dan 17 baru-baru ini," katanya.

Tegas Dr Sim, vaksinasi penting kerana dapat membantu mengurangkan penularan virus dan juga, kematian disebabkan oleh COVID-19.

“Sehubungan itu, rakyat digesa untuk memahami polisi COVID-19 yang telah berubah dalam tempoh pasca vaksinasi ini dan pada masa sama, ekonomi dapat dibuka semula secara berperingkat dengan selamat,” katanya.

Dr Sim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, adalah mustahil untuk sifar COVID-19 terutama dengan kehadiran varian Delta.

"Jadi, cara untuk kita mengharungi cabaran ini adalah teruskan hidup dengan virus, mematuhi SOP termasuk melakukan melakukan ujian kendiri, pemantauan diri, dan pengasingan diri, ”katanya.

Beliau turut memberitahu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan mengunjungi Sarawak pada 26 September bagi membincangkan hal berkaitan kesihatan negeri ini.

Pada 21 September, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak dalam perancangan memberikan vaksin COVID-19 kepada remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang tidak mempunyai masalah kesihatan mulai 23 September ini.

Uggah memaklumkan kira-kira 3.2 juta remaja dijangka terlibat dalam Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 pada kali ini.

  • oleh
  • Advertisement