Anda di sini

Pangsapuri dijadikan pusat judi dalam talian diserbu 

Advertisement
Siasatan dijalankan di lokasi serbuan.
Siasatan dijalankan di lokasi serbuan.

KUCHING: Tiga lelaki diberkas dalam serbuan ke atas sebuah pangsapuri yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian di Jalan Stapok Utama, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata serbuan dilakukan pada jam 10 malam itu hasil daripada maklumat dan risikan yang dibuat.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek yang ditangkap merupakan warga tempatan berusia 20,21 dan 24 tahun dipercayai pekerja di premis tersebut.

"Hasil siasatan awal mendapati premis tersebut sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan jumlah keuntungan mencecah RM1,500 sehari dan sehingga RM45,000 sebulan.

"Ketiga-tiga suspek dipercayai operator (pekerja) yang diupah RM1,500 sebulan berperanan mempromosikan kegiatan mereka dan menghubungi pelanggan melalui whatsApp atau medium media sosial yang lain," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek ditahan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah komputer serta telefon bimbit.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian boleh menyalurkannya kepada kita agar tindakan segera dapat diambil," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement