Anda di sini

Moody's beri penarafan stabil, sahkan penarafan A3 terhadap Sarawak

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service telah mengubah unjuran terhadap penarafan Sarawak daripada negatif kepada stabil.

Firma penarafan itu dalam satu kenyataan semalam berkata ia mengesahkan penarafan penerbit jangka panjang pada A3 dan juga mengesahkan penilaian kredit asas (BCA) kepada Sarawak pada baa1.

Perubahan prospek kepada stabil daripada negatif mencerminkan penilaian Moody’s bahawa pemulihan terhadap harga minyak sejak penularan COVID-19 digabungkan dengan penyelesaian pertelingkahan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas, stabil A2), dan kebolehlihatan dipertingkatkan berkaitan pungutan cukai jualan negeri terhadap produk petroleum.

Moody’s berkata perkembangan terbaharu itu akan memberikan fleksibiliti fiskal lebih banyak kepada kerajaan Sarawak untuk mengekalkan tahap perbelanjaan pembangunan yang tinggi sambil mengekalkan tahap penyangga kewangan yang kukuh dalam beberapa tahun akan datang, ia merupakan sumber utama sokongan kredit.

“Profil kredit Sarawak akan disokong oleh pemulihan harga minyak sejak awal penularan COVID-19 serta peningkatan kebolehlihatan terhadap kutipan cukai jualan produk petroleum.

"Secara khusus, faktor-faktor ini akan membolehkan kerajaan negeri untuk mengekalkan peruntukan pembangunan yang tinggi dan pada masa yang sama mengekalkan paras rizab fiskal pada kedudukan kukuh sebagai penimbal terhadap sebarang kejutan sekiranya berlaku pada masa depan,” katanya. 

Kerajaan Sarawak memperoleh sekitar tiga perempat pendapatan daripada sumber berkaitan petroleum dan kontrak untuk gas asli cecair (LNG) yang dihasilkan oleh negeri itu, ia mendominasi pengeluaran hidrokarbonnya, kebiasaannya dikaitkan dengan harga minyak mentah Brent, kata Moody’s.

Sehubungan itu, harga minyak sekitar antara US$60 hingga US$70 setong pada tahun 2021, Moody's menjangka ia dapat dikekalkan dalam tempoh dua tahun akan datang, ia akan memberikan sumbangan besar kepada kewangan negeri.

Selain itu, Moody’s berkata perjanjian yang dicapai dengan Petronas pada separuh kedua tahun 2020 untuk membayar cukai jualan produk petroleum memberikan kepastian terhadap belanjawan negeri dan sumber pendapatan Sarawak.

"Khususnya berkaitan pembayaran oleh Petronas pada tahun 2020 yang melibatkan pelunasan kewajibannya pada 2019, membantu kerajaan negeri menghapuskan kekurangan pembiayaan tunai yang signifikan walaupun terdapat kesan pandemik terhadap harga minyak dan jualan LNG.

"Moody's menjangkakan cukai jualan produk petroleum akan menyumbang secara purata kira-kira 35 peratus pendapatan Sarawak dalam beberapa tahun akan datan, Petronas menyumbang sebahagian besar sumber pendapatan ini," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement