Anda di sini

Langgar SOP: 16 kompaun dikeluarkan, pemilik pusat hiburan ditangkap

Advertisement
 

BINTULU: Polis Bintulu mengkompaun 16 pelanggan pusat hiburan manakala pemiliknya ditangkap semasa serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Bintulu Sentral Jalan Tanjung Kidurong di sini pada 12.05 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Zulkipli Suhaili berkata, 16 kompaun dikenakan ke atas pelanggan pusat hiburan terbabit di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 (PPPPB (LLDKTJ) (PPN) 2021).

Katanya, pemilik perniagaan pula telah ditangkap di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000/Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana premis disyaki beroperasi tanpa lesen, ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perbuatan cuai yang boleh merebaknya penyakit berjangkit yang merbahaya kepada nyawa. 

"Pemilik perniagaan turut dikompaun di bawah Peraturan 17 (2) PPPPB (LLDKTJ) (PPN) 2021 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menjalankan aktiviti terlarang. 

"Turut dirampas tiga unit televisyen, satu unit komputer riba, pelbagai jenis peralatan bunyi, resit jualan dan wang tunai berjumlah RM3,543," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu Zulkipli berkata, pada jam 12.05 tengah malam Sabtu dari hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu diketuai Inspektor Nixon Malang telah melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan terbabit.

Beliau berkata, semasa pasukan polis sedang menjalankan pemantauan rutin dalam tempoh PPN 3.0 telah mendengar bunyi bising dari sebuah pusat hiburan di kawasan terbabit. 

"Pasukan polis kemudiannya menghampiri premis tersebut dan mendapati pintu hadapan dalam keadaan bertutup dan berkunci manakala pintu belakang premis tidak berkunci," jelasnya. 

Justeru katanya, pasukan polis terus menyerbu masuk ke dalam premis terbabit dan mengarahkan penjaga premis membuka lampu dan memberhentikan (bunyian) muzik.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 13 lelaki dan tiga perempuan tempatan berumur antara 18 hingga 36 tahun sedang berhibur dalam pusat hiburan tersebut dan eorang lelaki tempatan berumur 26 tahun yang mengaku sebagai pemilik perniagaan itu gagal mengemukakan sebarang lesen perniagaan semasa pemeriksaan oleh pasukan serbuan," katanya.

Pada masa sama beliau berkata, pihak polis IPD Bintulu menyeru masyarakat Bintulu khususnya untuk mematuhi SOP PKP dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 demi kesejahteraan bersama.

  • oleh
  • Advertisement