Anda di sini

KKM runding perolehan vaksin untuk kanak-kanak

Advertisement
Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat pengeluar vaksin COVID-19 berkenaan perolehan vaksin bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Tanpa menamakan syarikat itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (gambar) berkata syarikat tersebut sedang membuat persiapan untuk menghantar data berkaitan kepada semua badan kawal selia seluruh dunia termasuk Malaysia.

"KKM akan menilai data berkenaan apabila ia tersedia… cuma mereka memerlukan sedikit masa, mungkin bulan depan mereka akan hantar ke Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) agar pendaftaran vaksin dapat dibuat.

“Kita tidak mahu nanti apabila dewasa dan remaja dilindungi, tetapi tiba-tiba ada pandemik dalam kalangan kanak-kanak pula,” kata Khairy pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini pada Jumaat.

Beliau turut menekankan bahawa strategi KKM bukan lagi mengejar imuniti kelompok sebaliknya memberi perlindungan kepada seramai mungkin penduduk melalui vaksinasi COVID-19.

Khairy berkata KKM juga mengambil tindakan berhati-hati mengenai vaksin COVID kanak-kanak memandangkan tidak boleh memberhentikan pengoperasian sekolah yang dijadual dibuka Oktober ini.

“Jadi, kita akan buat apa sahaja untuk memastikan persekitaran sekolah itu selamat untuk kanak-kanak sehingga mereka mendapat vaksin COVID-19,” katanya.

Mengenai aplikasi MySejahtera, Khairy berkata Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan menilai kerja yang dijalankan oleh KPISoft Sdn Bhd iaitu syarikat yang membangunkan aplikasi tersebut sebelum penentuan jumlah bayaran dibuat oleh perbendaharaan.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan akan mula membayar KPISoft Sdn Bhd mulai April 2021 berikutan tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan syarikat itu selama setahun berakhir 31 Mac lepas.

“Kita akan minta MAMPU menilai kerja-kerja tersebut dan semua yang terlibat dalam pembangunan aplikasi ini termasuk KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan melihat nilai yang ditentukan,” katanya.

MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 dalam negara dengan membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri. - BERNAMA
 

Advertisement