Anda di sini

Kerajaan Sarawak sumbang RM1.3 juta untuk SJKC Chung Hua Batu 4 1/2

Advertisement
Dr Sim melihat dokumen projek pembinaan blok bilik darjah baharu empat tingkat SJKC Chung Hua Batu 4 1/2. -Gambar oleh Chimon Upon
Dr Sim melihat dokumen projek pembinaan blok bilik darjah baharu empat tingkat SJKC Chung Hua Batu 4 1/2. -Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Dana berjumlah RM1.3 juta telah disumbangkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu 4 1/2 untuk pembinaan blok bilik darjah baharu empat tingkat sekolah berkenaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, dana ini adalah tambahan daripada peruntukan RM1.5 juta yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak sebelum ini.

"Pembiayaan ini adalah sebahagian daripada RM10 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan Sarawak tahun ini bagi membantu sekolah rendah Cina," katanya selepas melawat dan menyerahkan dana kerajaan kepada SJKC Chung Hua Batu 4 1/2 di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, malah, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebidang tanah seluas 0.6 ekar kepada sekolah terbabit untuk tujuan penambahan keluasan bagi pembinaan bangunan tersebut.

“Ini merupakan inisiatif kerajaan Sarawak  bagi membantu menyediakan kemudahan untuk sekolah rendah Cina negeri ini,” katanya.

Selain menyediakan dana untuk sekolah menengah Cina yang dimulakan oleh mantan Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem sejak tujuh tahun lalu, katanya, kerajaan Sarawak juga memperuntukkan dana untuk sekolah rendah Cina sebanyak RM8 juta tahun lalu.

“Dan jumlah peruntukan ini meningkat menjadi RM10 juta tahun ini. Dana RM10 juta ini bukan untuk membiayai kos operasi sekolah tetapi membantu dari segi penyediaan infrastruktur fizikal baharu kerana kerajaan persekutuan  tidak menanggung kos tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, kerajaan persekutuan hanya membayar kos operasi termasuk bil elektrik, guru dan sebagainya.

“Tetapi, apa sahaja penyediaan infrastruktur bersifat fizikal, SJK C harus mengumpulkan dananya sendiri,” kata beliau.

Dr Sim menambah,  dana RM10 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan Sarawak itu juga  akan diagihkan kepada 16 sekolah rendah Cina di seluruh negeri.

"Jadi untuk kita menyalurkan dana untuk sekolah-sekolah, unit khas bagi membantu sekolah rendah Cina di Sarawak akan mengakses projek-projek sekolah dan ia akan diberikan berdasarkan keutamaan.

“Kita akan terus mendapat dana setiap tahun selama mana kerajaan di bawah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg masih ada.

"Kerana ini adalah dasar kita untuk membantu sekolah. Tujuan utama adalah membantu mereka membina blok bilik darjah baru terlebih dahulu.

"Kita harap  dalam jangka masa lima hingga enam tahun, semua sekolah yang membina blok bilik darjaj baru akan disiapkan supaya dapat menerima semua pelajar tanpa mengira bangsa sama ada di bandar atau luar bandar," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Jonathan Chai Voon Tok berkata, dana yang diperuntukkan daripada kerajaan Sarawak ini adalah  untuk menampung sekolah-sekolah yang memerlukan pembinaan bilik darjah tambahan baharu dan juga penempatan semula sekolah.

"Saya tahu banyak sekolah salah faham mengenai tujuan penubuhan unit khas ini. Tetapi buat masa ini, berdasarkan tinjauan yang dilakukan pada tahun lalu, kita mempunyai 223 sekolah rendah Cina di Sarawak di mana 186 sekolah rendah Cina dibantu, dan ini adalah sekolah yang kita cuba bantu untuk meringankan beban kewangan dewan pengurusan sekolah.

"Tetapi seperti yang disebutkan oleh Dr Sim sebelumnya, setelah semua keperluan mendapatkan ruang kelas tambahan dan penempatan semula selesai, kita mungkin mempertimbangkan untuk memperluas skop di masa depan," katanya.

Terdahulu, Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan sekolah tersebut, Wong Kiong menjelaskan kos pembinaan blok bilik darjah baharu SJKC Chung Hua Batu 4 1/2  dianggarkan kira-kira RM7 juta.

Setakat ini, katanya, sekolah itu telah berjaya mengumpulkan RM2.5 juta.

"Dengan peruntukan tambahan daripada kerajaan Sarawak yang berjumlah RM2.8 juta, ini bermakna kita masih kekurangan sekitar RM1.5 juta.

“Justeru, kita amat berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana tampil membantu biarpun ketika ini kita tidak dapat menjalankan aktiviti untuk mengumpul dana disebabkan COVID-19,” katanya.

Untuk makluman katanya, buat masa sekarang SJKC Chung Hua mempunyai 27 bilik darjah dengan 1,000 pelajar.

“Dengan projek ini yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan, kita akan dapat menyediakan 36 bilik darjah bagi memenuhi pengambilan pelajar tahun 2023,” ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement