Anda di sini

Cadangan had pengeluaran lesen memandu kepada warga emas tidak adil 

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUCHING: Cadangan untuk mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas adalah tidak adil untuk golongan itu, kata Persatuan Gerontologi dan Geriatik Sarawak (SGGS). 

Presiden SGGS Dennis Tan berkata tiada statistik daripada polis menunjukkan warga emas adalah antara penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya dalam negara. 

Sebaliknya, SGGS percaya kebanyakan kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian golongan muda memandu, melawan lampu isyarat atau memandu dalam keadaan mabuk. 

"Kami juga rasa keterlaluan untuk setiap warga emas menjalani pemeriksaan kesihatan dan dapatkan pengesahan doktor sebelum mereka boleh dikeluarkan lesen. 

"Isu kesihatan seperti penglihatan kabur, bukan alasan untuk menghalang mereka daripada memperbaharui lesen. 

"Jika syarat seperti itu dikenakan kepada warga emas, ia harus juga dikenakan kepada golongan muda kerana terdapat ramai dari kalangan mereka mempunyai isu kesihatan yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Justeru menurut SGGS, tiada keperluan untuk mengenakan syarat ini kerana warga emas tahu bila untuk berhenti memandu jika mempunyai masalah kesihatan. 
 
SGGS turut berpendapat lebih baik polis memberi perhatian kepada individu sakit mental, pesalah trafik berulang kerana mereka lebih berisiko menyebabkan kemalangan jalan raya.  

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan kepada kerajaan agar mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias dipetik berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

Beliau berkata kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu.
 

  • oleh
  • Advertisement