Anda di sini

Bung nafi kelirukan Dewan Rakyat

Advertisement
BUNG
BUNG

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dakwaan beliau mengelirukan Dewan Rakyat apabila hujahnya bahawa tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan WARISAN menamatkan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi projek lebuhraya Pan Borneo di Sabah merupakan satu kesilapan besar.

Sambil mempertahankan kebenaran perkara itu, beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, PH dan WARISAN yang berkuasa di Sabah pada ketika itu sememangnya telah menamatkan PDP tanpa berfikir panjang terutama keperluan untuk menerbitkan sukuk atau bon terlebih dahulu.

Menurutnya, kerajaan Sarawak juga telah menamatkan PDP bagi projek Pan Borneo tetapi berbuat demikian selepas menerbitkan sukuk.

Sebab itu katanya, pelaksanaan projek Pan Borneo di Sarawak berjalan lancar tanpa gangguan daripada segi kelewatan.

Bung berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kontrak antara Sabah FC dan Ketua Jurulatih Bolasepak Sabah yang baharu Datuk Ong Kim Swee di sini, semalam.

Bung diminta mengulas kenyataan beberapa anggota Parlimen PH yang mendakwa beliau mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Bung berkata susulan tindakan PH dan WARISAN menamatkan PDP, projek Pan Borneo di Sabah kini hanya bergantung kepada peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setiap tahun daripada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pakej-pakej berfasa yang bernilai puluhan bilion.

Katanya, ini kerana ketiadaan peruntukan infrastruktur berikutan penamatan PDP tanpa menerbitkan sukuk terlebih dahulu.

Bung berkata, jika pelaksanaan projek Pan Borneo di Sabah bergantung semata-mata kepada peruntukan pembangunan RM1 bilion setiap tahun, maka ia akan mengambil masa berpuluh-puluh tahun untuk disiapkan.

Oleh itu, beliau tetap berpegang kepada kenyataannya sebelum ini dan mengulangi bahawa PH dan WARISAN melakukan satu kesilapan besar dalam hal ini, sekali gus menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek Pan Borneo.
 

  • oleh
  • Advertisement