Anda di sini

Ops Gerak: JAS periksa 1,378 kenderaan diesel 

Advertisement
Anggota Penguatkuasa JAS memeriksa pelepasan asap hitam sebuah bas.
Anggota Penguat Kuasa JAS memeriksa pelepasan asap hitam sebuah bas.

SERIAN: Sebanyak 1,378 kenderaan berenjin diesel diperiksa sepanjang Operasi Pemeriksaan Bersepadu Kenderaan Bermotor (Ops Gerak) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak sejak 20 September lalu.

Pengarah JAS Sarawak Hamzah Mohamad berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 26 kenderaan diarahkan menjalani ujian had pelepasan asap hitam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan sebanyak lima kompaun dan empat notis arahan pemeriksaan semula dikeluarkan.

"JAS melakukan operasi ini bermula dari Kuching, Kota Samarahan, Padawan serta Serian sejak 20 September dan secara kumulatif sebanyak 1,378 kenderaan diperiksa dengan lima kompaun serta empat notis arahan dikeluarkan. 

"Ini menunjukkan bahawa kebanyakkan kenderaan (enjin diesel) yang beroperasi di bandar ini, khususnya sepanjang tempoh ini (20 hingga 24 September) mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan," katanya pada sidang media berhubung operasi tersebut, di sini hari ini.

Tambahnya, lima lokasi pemeriksaan yang dijalankan adalah di Jalan Kuching-Serian Bypass, Jalan Kuching-Samarahan Expressway, Batu 16 Jalan Keruing (Demak) dan Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Serian.

Katanya, operasi tersebut akan diteruskan di daerah lain di seluruh negeri ini sempena dengan Hari Ozon Sedunia.

"Operasi secara berkala ini bertujuan memberi kesedaran kepada pemilik kenderaan motor untuk sentiasa mematuhi pelepasan asap hitam melalui ekzos kenderaan supaya mematuhi had yang ditetapkan.

"Pelepasan asap hitam berlebihan berpotensi memberi kesan buruk kepada kualiti udara dan seterusnya memberi kesan kepada kesihatan manusia serta alam sekitar," katanya.

Jelas beliau, semua kenderaan berenjin diesel harus mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996 (Pindaan) 2000.

Hamzah turut menasihatkan semua pemilik kenderaan untuk menyelenggara kenderaan masing-masing dengan sempurna.

"Penglibatan semua pihak amatlah diperlukan dalam usaha melindungi dan memulihara alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian dan JPJ Serian masing-masing mengeluarkan 20 kompaun atas pelbagai kesalahan.

Manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut menyertai operasi tersebut hari ini menahan 18 pengguna jalan raya dan empat daripada disahkan positif dadah.

Kesemua yang positif telah dibawa ke pejabat AADK untuk tindakan selanjutnya.
 

  • oleh
  • Advertisement