Anda di sini

MA63: Nanta bidas tuduhan rundingan GPS, PN gagal capai kejayaan 

Advertisement
 

KUCHING: Tuduhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mencapai apa-apa kejayaan dalam rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah tidak berasas. 

Tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (gambar), kenyataan Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu adalah tidak adil. 

Katanya sebagai menteri KPDNHEP dan ahli parlimen GPS beliau rasa terkilan dengan kenyataan itu apatah lagi beliau sendiri terlibat dalam rundingan MA63. 

Nanta turut menjelaskan banyak kejayaan telah dicapai hasil rundingan antara kerajaan GPS dan PN berhubung isu MA63. 

“Pertama, mesyuarat majlis khas bagi menyemak MA63 pada 13 April 2021 yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju supaya pengecualian untuk memperolehi kebenaran lesen PDA 1974 dan lesen CSA 1961 diberikan kepada pemegang lesen DGO (Distribution of Gas Ordinane) 2016 di Sarawak mulai 1 Jun 2021. 

“Kesannya kerajaan membantu merancakkan lagi persekitaran perniagaan yang lebih bersifat kondusif yang bermanfaat dalam peningkatan tadbir urus dan kawal selia minyak dan gas di Sarawak serta merancakkan aktiviti perdagangan dan pelaburan domestik lebih kompetitif,” katanya. 

Nanta berkata demikian sebagai membidas kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Kuching itu berhubung isu MA63 pada sidang parlimen Rabu lepas. 

Tambah Nanta, pencapaian kedua rundingan kerajaan GPS dan PN adalah kelulusan membenarkan SEDC Energy Sdn Bhd menjadi syarikat minyak baharu setanding dengan jenama-jenama pengeluar minyak yang lain. 

Atas sebab itu beliau berterima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tan Muhyiddin yang merealisasikan hasrat dan impian rakyat negeri ini yang turut memberi kebenaran kepada SEDC untuk menjual petrol, diesel dan produk petroleum lain secara hiliran. 

Kejayaan lain katanya kelulusan untuk menggerakkan sektor ekonomi menerusi pembayaran cukai jualan negeri (SST) sebanyak 5 peratus yang dikenakan kepada produk petroleum dari Sarawak. 

“Kerajaan persekutuan hari ini turut komited untuk merundingkan perkara lain berkaitan isu pembangunan sektor ekonomi di Sarawak. 

“Jadi jangan reka cerita tanpa berusaha mencari kebenaran. Mari bersama sebagai keluarga Malaysia beri tumpuan bangunkan negara dan mencari jalan keluar daripada COVID-19 yang belum selesai,” katanya. 
 

Advertisement