Anda di sini

Lima tahun berlalu, Visi 2030 Arab Saudi lakar pelbagai kejayaan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Arab Saudi yang menyambut Hari Kebangsaan ke-91 pada Khamis, kini boleh berbangga dengan pencapaian Visi 2030 (Vision Saudi 2030), sejak dilancarkan lima tahun lalu.

Visi yang dilancarkan pada 2016 menyaksikan pelbagai objektif telah dicapai dalam usaha kerajaan mendukung kepelbagaian ekonomi demi membina masa depan gemilang untuk rakyat.

Dalam satu artikel kepada Bernama sempena sambutan itu, Jabatan Hal Ehwal Media Kedutaan Arab Saudi di Malaysia berkata kerangka strategik visi tersebut demi mengurangkan kebergantungan terhadap minyak yang merupakan hasil eksport utama, serta mempelbagaikan ekonomi dan membangunkan sektor perkhidmatan awam termasuk kesihatan, pendidikan, infrastruktur, rekreasi dan pelancongan.

Dilancarkan Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud pada 25 April 2016 ia bertujuan menjadikan Arab Saudi sebagai model terkemuka dunia dengan memperkasa rakyatnya.

Namun, artikel itu mengakui pelbagai cabaran dilalui demi mencapai matlamat masa depan.

Program visi berkenaan, jelas mencapai kejayaan merentasi asas wawasan, terutama dalam membentuk masyarakat waja, kemakmuran ekonomi dan juga terhadap impian negara.

Menyentuh mengenai Haji dan Umrah, artikel itu turut menjelaskan mengenai kemampuan Arab Saudi menerima dan mengelola jemaah dengan memperluas sistem perkhidmatannya di Dua Kota Suci dan tempat ibadah yang lain, termasuk memudahkan proses visa Umrah hanya dalam tempoh lima minit, berbanding sebelum ini mengambil masa 14 hari.

Kemudahan ini adalah tambahan kepada "Electronic Tourist Visa" yang boleh diperoleh dalam tempoh beberapa minit.

"Langkah tersebut memudahkan pelancong mengunjungi pelbagai destinasi pelancongan, monumen dan menghidupkan kembali sektor tersebut serta meningkatkan sumbangan terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di samping membangunkan destinasi pelancongan dan mencipta peluang pekerjaan," katanya.

Arab Saudi kini berada antara 20 negara dengan jumlah KDNK tertinggi di dunia, dan sektor pelancongan menyumbang SAR 224 bilion (US$ 59.7 bilion) kepada ekonomi dan dijangka meningkat 4.7 peratus setahun, mencecah SAR 412 bilion (US$110 bilion), merangkumi 11.1 peratus daripada KDNK menjelang 2027.

Pada 2018, buat pertama kali dalam sejarah, Arab Saudi mula mengeluarkan visa pelancongan, menyaksikan pelancong antarabangsa dari 49 negara termasuk Malaysia, boleh memohon Quarter e-Visa menerusi portal dalam talian.

E-Visa bagi tempoh setahun tersebut membenarkan visa pelbagai kemasukan serta pelancong dibenarkan berada di negara itu sehingga 90 hari bagi aktiviti berkaitan pelancongan dan Umrah (tidak termasuk musim haji dan pengajian ilmu).

Sementara itu, aktiviti di tapak arkeologi dan warisan semakin mendapat tempat dalam lima tahun kebelakangan ini. Jumlah tapak warisan yang boleh dikunjungi pada 2020 meningkat kepada 354 berbanding 241 pada 2017.

Antaranya tapak warisan yang menerima pengiktirafan UNESCO itu, Addiriyah, Madain Saleh, seni batuan di Jabal Umm Sinman berhampiran wilayah Hail dan Jeddah (Al-Balad), juga dikenali sebagai 'Pintu Gerbang ke Mekah ' (the Gate to Makkah).

Pembangunan ekonomi turut menjadi satu daripada tonggak utama Visi Kerajaan 2030, dengan menetapkan matlamat ekonomi Arab Saudi antara 15 tertinggi di dunia. 

Arab Saudi turut menggariskan pencapaian ekonomi menerusi kepelbagaian eksport selain minyak dalam KDNK dari 16 peratus hingga 50 peratus.

Lima tahun kebelakangan ini menyaksikan pertumbuhan nisbah KDNK selain minyak mencapai 59 peratus pada 2020, berbanding 55 peratus pada 2016.

Pendapatan melibatkan sektor bukan minyak juga meningkat hingga SAR 369 bilion (US$ 98.40 bilion) pada 2020, berbanding SAR 166 bilion (US$ 44.26 bilion) pada 2015, iaitu peningkatan sebanyak 222 peratus, sementara jumlah sektor perkilangan meningkat 38 peratus kepada 9,984 berbanding 7,206  sebelum pelancaran Visi 2030.

Kerajaan turut mengakui kepentingan ekonomi digital, dengan menarik pelaburan teknologi paling signifikan melibatkan Timur Tengah dan Afrika Utara, dengan perjanjian melebihi SAR enam bilion (US$ 1.60 bilion) antaranya dalam sektor pengkomputeran awan iaitu kerjasama antara Google dan Aramco.

Artikel tersebut turut menyentuh penghasilan cip pintar pertama Arab Saudi dan telah digunakan dalam aplikasi ketenteraan, komersial dan awam.

Artikel itu turut mengetengahkan projek utama Visi 2030 iaitu Projek NEOM City dan THE LINE.

Projek "NEOM" mewakili sistem masa depan bagi kehidupan, pekerjaan dan perbandaran, sementara THE LINE merupakan sebuah sistem urbanisasi yang belum pernah ada sebelum ini - sebuah pembangunan bandar linear sepanjang 170 kilometer (km).

Sementara itu, Projek The Red Sea - projek pelancongan sepanjang 200 km di pantai Laut Merah,  merangkumi lebih 90 gugusan kepulauan dengan hanya 22 pulau akan dimanfaatkan bagi tujuan pelancongan sementara yang lain tidak diusik.

Projek ini dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan serta menyumbang SAR sebanyak 22 bilion (US$5,886 bilion) KDNK. Ia termasuk pembinaan Lapangan Terbang Laut Merah yang dijangka siap pada 2022 khusus untuk projek The Red Sea dan juga kapal pelayaran.

Sementara itu, Riyadh akan menjadi tuan rumah Sukan Asia 2034 buat julung kalinya dan Kompleks Sukan Qiddiya bakal menjadi tuan rumah bagi kebanyakan acara sukan itu.

"Visi 2030 permulaan kepada sebuah transformasi berterusan. Apa yang telah dicapai, dan apa yang ingin digapai, adalah berkat usaha keras rakyat secara berterusan, kerjasama antara sektor swasta dan pihak ketiga bagi memartabatkan negara," menurut artikel itu. - BERNAMA
 

Advertisement