Anda di sini

Lebih 2,000 pelajar sudah divaksin di Semporna

Advertisement
 Adam Shah (kanan) semasa meninjau PICK Remaja di SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah.
TINJAU: Adam Shah (kanan) semasa meninjau PICK Remaja di SMK Datuk Haji Panglima Jakarullah.

SEMPORNA: Lebih 2,000 orang pelajar sudah menerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Panglima Jakarullah, di sini sehingga semalam.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Senallang, Adam Shah Mohammad berkata sekolah tersebut dipilih menjadi PPV untuk pelajar kerana lokasinya yang sangat strategik dan bersesuaian.

“Kami sangat berpuas hati dengan pengurusan yang ditunjukkan oleh petugas di PPV tersebut kerana berjaya melaksanakannya dengan sangat teratur.

“Saya melihat sambutan daripada pelajar sangat menggalakkan kerana sejak dilaksanakan Selasa lalu sudah lebih 2,000 orang yang datang mengambil suntikan vaksin tersebut,” katanya.

Beliau berharap semua pelajar yang berumur 12 hingga 17 tahun di daerah ini supaya segera mengambil suntikan vaksin.

“Ibubapa juga tidak perlu ragu dengan suntikan vaksin yang diberikan kepada anak mereka kerana ia diakui selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua pelajar.

“Kita berharap dengan adanya suntikan vaksin ini, sesi persekolahan secara bersemuka dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya.

Adam Shah berkata, semua ibubapa perlu menyahut saranan kerajaan agar pelajar mesti lengkap divaksin sebelum sekolah dibuka semula bagi mengelak jangkitan wabak dikalangan mereka.

“Dalam kenyataan Menteri Kesihatan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja sebagai persediaan pembukaan sekolah Oktober ini dengan keutamaan kepada pelajar yang mengambil peperiksaan.

KKM menyasarkan 60 peratus remaja berusia 12 sehingga 17 tahun akan menerima sekurang-kurangnya satu dos pada November ini dan 80 peratus menerima dos lengkap pada Januari tahun depan,” katanya.

Advertisement