Anda di sini

Kes gaduh di Piasau Jaya, tujuh ditahan bagi bantu siasatan

Advertisement
Tujuh suspek direman sehari bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan di Piasau Jaya.
Tujuh suspek direman sehari bagi membantu siasatan kejadian pergaduhan di Piasau Jaya.

MIRI: Tujuh suspek lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang berlaku di Piasau Jaya di sini petang pada Khamis. 

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Miri mengesahkan berkenaan insiden pergaduhan oleh sekumpulan lelaki yang berlaku sekitar jam 5.30 petang itu. 

Menurutnya, insiden tersebut adalah rentetan daripada kejadian awal di mana seorang peguam terkenal di Miri mendakwa dirinya telah diserang oleh seorang lelaki yang beliau kenali ketika sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumah dan serangan terbabit menyebabkan beliau mengalami kecederaan ringan. 

"Ekoran daripada kejadian tersebut, adik kepada mangsa telah mengambil tindakan mengesan penyerang tersebut bersama beberapa orang rakan beliau dan berlaku pergaduhan yang mengakibatkan kerosakan kepada harta benda serta kecederaan. 

"Pihak polis yang tiba di tempat kejadian terpaksa melepaskan tembakan di udara untuk meleraikan pergaduhan serta meredakan keadaan," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Jumaat. 

Kejadian pergaduhan terbabit turut dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian dan tular di media sosial. 

Hakemal berkata kesemua yang terlibat dalam pergaduhan tersebut telah membuat laporan polis dan mereka yang terlibat ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri untuk membantu siasatan. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana menakutkan secara jenayah, Seksyen 447 KK kerana pencerobohan jenayah dan Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian," jelasnya. 

Beliau memberitahu, kesemua suspek direman selama sehari oleh Mahkamah Miri, di sini bagi membantu siasatan kes tersebut. 

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Leona Dominic Mojiliu menerusi aplikasi Zoom. 

Dalam pada itu, Hakemal menasihati orang awam agar tidak menyebarkan rakaman pergaduhan di Piasau Jaya yang berlaku petang pada Khamis di mana-mana platform media sosial kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu akan mengundang kegusaran kepada masyarakat serta membawa kepada tafsiran yang negatif kepada semua pihak. 

"Mana-mana individu yang didapati menularkan video tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. 

"Tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, jika sebarang spekulasi dibuat dengan tujuan untuk mengancam keamanan," tegasnya. 

Tambahnya, berkata polis juga ingin menegaskan kepada masyarakat agar tidak mengambil tindakan di luar batasan undang-undang. 

"Tiada siapa dibenarkan dalam undang-undang untuk menggunakan kekerasan, gengsterisme dalam menyelesaikan pertelingkahan di antara pihak tanpa mengira latar belakang mereka. 

"Sebarang kejadian jenayah yang berlaku harus dilaporkan dengan segera kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya. 

Beliau mengulas lanjut pergaduhan seperti ini dapat dielakkan jika semua pihak berfikiran secara rasional. 

"Masyarakat diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat dengan lebih lanjut insiden ini. 

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri," ujarnya. 
 

Advertisement