Anda di sini

Kerajaan tumpu tingkat kuasa beli untuk kesejahteraan rakyat

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menumpukan usaha mengembalikan kesejahteraan rakyat dengan meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar).

Menyorot kembali sejak Mac 2020, beliau berkata negara telah melalui satu fasa yang cukup perit dan memberi kesan amat mendalam kepada ekonomi, sosial dan psikologi rakyat ekoran pandemik COVID-19.

Beliau berkata kerajaan pada setiap hari belajar perkara baharu untuk bagaimana menangani pandemik COVID-19, selain berusaha mencari langkah terbaik mengimbangi kesan ekonomi yang melanda negara sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

Impak yang dihadapi meliputi pelbagai sektor industri khususnya perniagaan kecil dan sederhana yang sangat terkesan. Bukan sedikit yang masih bergelut, malah ada yang terpaksa gulung tikar.

"Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup rakyat ketika negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini," katanya ketika melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia, Rumah Ikram Keluarga Malaysia, di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Rumah Ikram Keluarga Malaysia itu menjadi teduhan kepada golongan yang kehilangan dan kekurangan pendapatan, atau kehilangan pekerjaan sehingga tidak mampu membayar sewa rumah yang tinggi.

Rumah Ikram Keluarga Malaysia disediakan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum RM124 sebulan bagi tempoh maksimum dua tahun.

"Alhamdulillah, kini kita telah berada pada landasan tepat ke arah pemulihan ekonomi negara," kata Ismail Sabri.

Perdana menteri berkata kerajaan akan meneruskan dasar strategik untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutamanya isi rumah dalam kalangan B40.

Beliau berkata bagi pelan jangka sederhana dan jangka panjang, program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan, menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan akan dilaksanakan.

Berkongsi perkembangan program vaksinasi COVID-19, Ismail Sabri berkata sebanyak 81 peratus populasi dewasa Malaysia telah divaksinasi melibatkan 18.9 juta individu sehingga Rabu lepas dan vaksinasi kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 juga telah dimulakan sebagai persediaan pembukaan sekolah.

Beliau berkata berdasarkan perkembangan positif itu, kerajaan mula memberi kelonggaran kepada individu lengkap divaksinasi bagi melaksanakan aktiviti dalam sektor ekonomi dan sosial.

Negara akan melalui fasa endemik di mana rakyat perlu hidup bersama-sama COVID-19 dalam norma baharu dengan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).

"Apa yang penting dalam tempoh endemik ini adalah kawalan kendiri. Menjadi tanggungjawab kita semua, untuk memastikan segala aktiviti harian dilakukan mengikut pembudayaan norma baharu," katanya. - BERNAMA
 

Advertisement