Anda di sini

Hampir 60 peratus penduduk dewasa di kunak sudah terima vaksin

Advertisement
IZAIDI
IZAIDI

KUNAK: Hampir 60 peratus daripada 57,000 jumlah keseluruhan penduduk termasuk bukan warganegara di daerah ini sudah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

Pegawai Kesihatan Daerah Kunak Dr Izaidi Salman Yazid berkata sebanyak 66.3 peratus penduduk dewasa pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Kami sangat berpuas hati dengan sambutan yang ditunjukkan daripada penduduk dalam memberikan kerjasama mengambil suntikan vaksin di daerah ini.

“Melalui jumlah penduduk yang sudah melengkapkan suntikan vaksin itu, kami percaya imuniti kelompok sebanyak 80 peratus dapat dicapai sebelum hujung Oktober depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini semalam.

Sementara itu, katanya, hanya sekitar 300 orang sahaja yang didapati terlepas janji temu mendapatkan suntikan vaksin dos kedua di daerah ini.

“Semua penduduk termasuk yang terlepas janji temu boleh datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Sri Kunak untuk menerima suntikan vaksin.

“Pejabat Kesihatan Kunak membuka PPV tersebut setiap hari kepada semua penduduk termasuk bukan warganegara,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini dianggarkan kira-kira 1,200 orang masyarakat Pelauh sudah diberikan vaksin jenis CanSino dalam program outreach di penempatan mereka.

Dalam pada itu, katanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di daerah ini sudah dilaksanakan sejak Sabtu lalu.

Katanya, sehingga semalam seramai 2,294 orang pelajar berumur 12 hingga 17 tahun sudah menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Masyarakat Sri Kunak.

“Kami akan membuka tiga PPV di dalam sekolah khusus untuk memberikan suntikan vaksin kepada pelajar.

“Kami akan membuka PPV di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kunak Jaya pada Ahad depan manakala SMK Kunak hari berikutnya dan SMK Madai pada Selasa,” katanya.  

  • oleh
  • Advertisement