Anda di sini

Edisi kelima Sarawak Adventure Challenge berlangsung di Siniawan, 7 Nov ini 

Advertisement
Miro (tiga kanan) melakukan simbolik pelancaran Sarawak Adventure Challenge 2021 yang akan berlangsung pada 7 November ini di Siniawan, Bau. Turut kelihatan Chua (dari kanan), Lo dan Robert. -Gambar Chimon Upon
Miro (tiga kanan) melakukan simbolik pelancaran Sarawak Adventure Challenge 2021 yang akan berlangsung pada 7 November ini di Siniawan, Bau. Turut kelihatan Chua (dari kanan), Lo dan Robert. -Gambar Chimon Upon

BAU: Acara ‘Sarawak Adventure Challenge’ atau SAC kembali diadakan tahun ini dengan Siniawan yang terletak dalam daerah Bau dipilih sebagai lokasi perlumbaan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu Miro Simuh berkata memasuki edisi kelima tahun ini, acara ini akan berlangsung pada 7 November ini. 

“Saya berterima kasih kepada pihak penganjur Draco Action Sports kerana memilih Siniawan yang terletak dalam kawasan Serembu sebagai lokasi acara tahun ini. 

“Kawasan Serembu mempunyai banyak tarikan dan pemilihan Siniawan sebagai lokasi acara amat tepat,” katanya pada pelancaran SAC hari ini di Ayak Galeri yang terletak di Pekan Siniawan di sini. 

Sementara itu Pengarah Perlumbaan Chua Juan Chuan berkata acara ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu larian sejauh 12 kilometer (km) dan berbasikal bukit sejauh 40 km. 

Tahun ini katanya berikutan negeri masih berdepan pandemik COVID-19, jumlah peserta ditetapkan 250 orang sahaja mengikut garis panduan (SOP) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS). 

Pendaftaran dibuka mulai hari ini dan boleh dibuat secara dalam talian menerusi www.sarawakchallenge.com selewat-lewatnya 17 Oktober ini. 

Acara ini turut terbuka kepada warga asing yang tinggal di negeri ini dengan syarat telah lengkap dua dos vaksin COVID-19. 

Dalam pada itu edisi pertama SAC berlangsung pada 2017 di Gua Pari Bau diikuti edisi kedua pada 2018 di Gunung Singai juga di Bau. 

Manakala edisi ketiga berlangsung pada 2019 di Pantai Siar Lundu dan edisi keempat pada 2020 di Gua Silibur, Lobang Batu di Serian. 

Acara ini turut disokong Kementerian Pelanconga, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB). 

Selain mempromosikan aktiviti sukan dan rekreasi, acara ini juga bertujuan mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pengembaraan.

Hadir sama ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang serta jurucakap Draco Action Sports Robert Basiuk. 
 

  • oleh
  • Advertisement