Anda di sini

COVID-19: Tiga kluster baharu di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Tiga lagi kluster baharu COVID-19 diisytihar di Sarawak dengan dua daripadanya melibatkan kluster komuniti dan satu kluster tempat kerja.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, dua kluster komuniti adalah Kluster Sungai Merusa, Subis dan Kluster Kanawa Baram, Marudi manakala kluster tempat kerja adalah Kluster Haidah, Bintulu.
 
Mengenai Kluster Sungai Merusa, Subis katanya, ia dikesan melibatkan penduduk di sebuah rumah panjang di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang terletak di kawasan Sungai Merusa, Niah, Subis.

“Seramai 57 individu disaring dengan 44 orang didapati positif termasuk kes indeks, 12 individu didapati negatif manakala orang individu masih menunggu keputusan.

“29 kes baharu dilaporkan pada hari ini. Kesemua mereka yang positif dirawat dan diasingkan di Hospital Miri, Pusat pemeriksaan COVID-19 (CAC) serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di daerah Miri,” katanya menerusi kenyataan media.

Bagi Kluster Kanawa Baram, Marudi, JPBNS memaklumkan yang kluster ini dikesan melibatkan penduduk di sebuah perkampungan di bawah PKPD, Marudi dan seramai 53 orang telah disaring.

Menurutnya, 29 orang didapati positif termasuk kes indeks manakala 23 individu didapati negatif. 

“Seorang individu masih menunggu keputusan dan 13 kes baharu dilaporkan pada hari ini. Kesemua yang terlibat dalam kluster ini telah mendapat rawatan serta diasingkan di Hospital Miri, PKRC di daerah Miri dan CAC di Daerah Marudi,” ujar kenyataan tersebut.

Sementara itu Kluster Haidah, Bintulu pula merupakan kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan pekerja dan krew sebuah kapal logistik dan pengangkutan yang sedang diberi arahan kuarantin dan PKPD yang sedang berlabuh di pesisir pantai Bintulu.

Jelasnya, 173 individu telah disaring bagi kluster ini dengan 92 orang didapati positif termasuk kes indeks sementara 45 individu didapati negatif. 

“36 individu masih menunggu keputusan dan 45 kes baharu dilaporkan pada hari ini,” ujarnya sambil menambah, individu yang terlibat dengan kluster ini diasingkan dan mendapat rawatan di Hospital Bintulu, CAC dan PKRC di daerah Bintulu.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan tiga kluster ditamatkan hari ini setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lepas melibatkan kluster ini.

Ia katanya, membabitkan Kluster Taman Indah Landeh, Kuching, Kluster Lorong Temenggung Haji Gobil, Kuching dan Kluster Nanga Dap, Kanowit.

Dengan pertambahan kluster itu, JPBNS berkata, sebanyak 131 kluster masih aktif di Sarawak dengan 10 daripadanya merekodkan penambahan 202 kes baharu hari ini.

Kes baharu katanya, membabitkan Kluster Kampung Bungey 2 (60); Kluster Haidah (45); Kluster Sungai Merusa (29); Kluster Sungai Ipoh (21); Kluster Batu 10 Jalan Oya (18); Kluster Kanawa Baram (13); Kluster KM20 Jalan Betong (10); Kluster Long Urun (4); Kluster Sungai Pana (1) dan Kluster Duras (1).

Advertisement