Anda di sini

Abang Johari rasmi projek naik taraf Masjid At-Taqwa

Advertisement
Abang Johari menandatangani plak perasmian projek naik taraf fasa satu masjid At Taqwa. -Foto Penerangan.
Abang Johari menandatangani plak perasmian projek naik taraf fasa satu masjid At Taqwa. -Foto Penerangan.

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah hadir menyempurnakan majlis perasmian projek naik taraf fasa pertama masjid besar bahagian Miri, Masjid At-Taqwa hari ini.
 
Berusia 36 tahun, masjid kini berwajah baharu setelah siapnya kerja-kerja renovasi dengan kos RM9 juta dari kerajaan negeri. 

Majlis perasmian diadakan bermula jam 11.30 pagi sebelum mengerjakan solat Jumaat. 

Abang Johari melakukan pukulan beduk sebagai tanda simbolik perasmian dan menandatangani plak. 

Acara diteruskan dengan bacaan doa oleh Imam Besar Negeri Sarawak Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Dalam pada itu, projek dilaksanakan bermula September 2018 dan siap pada September 2020  melibatkan renovasi dataran buruj dan kubah, renovasi bahagian dalaman masjid dan pembinaan tandas baharu. 

Atas faktor pandemik COVID-19, masjid hanya dibuka semula dan mula digunakan pada 25 Mac. 

Tentang latar belakang pembinaan masjid, cadangan telah dibuat pada tahun 1979 sewaktu Tun Abdul Rahman Yaakub menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Masjid berjaya dibina atas usaha dan nasihat Tun Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak.

Majlis peletakan batu asas pembinaan masjid telah dirasmikan Tun Taib pada 20 Mac 1983. 

Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) memulakan kerja pembinaan pada 10 Oktober 1983 dan masjid siap pada 1 Ogos 1985. 

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting,  Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Yang DiPertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Khalidi Ibrahim dan Pengerusi masjid, Hamzah Dadu.
 

  • oleh
  • Advertisement