Anda di sini

Tidak sengaja dedah alamat e-mel 250 jurubahasa Afghanistan, pegawai Britain digantung kerja

Advertisement
 

LONDON: Menteri Pertahanan Britain kelmarin memohon maaf dan mengarahkan seorang pegawai digantung kerja selepas jabatannya secara tidak sengaja mendedahkan alamat e-mel lebih 250 jurubahasa Afghanistan yang mahu berpindah ke United Kingdom (UK).

Ben Wallace memberitahu parlimen bahawa kesilapan itu mendedahkan beratusratus warga Afghanistan dalam e-mel yang dihantar pada lewat Isnin, dan ia “tidak boleh diterima”.

Penerima bantuan yang berpotensi untuk dipindahkan selepas Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan telah diberi amaran sebaik sahaja kesilapan itu dikesan dan diberi nasihat tentang apa yang perlu dilakukan, katanya.

“Ia adalah kecuaian perkhidmatan yang tidak boleh diterima... dan bagi pihak kementerian pertahanan saya memohon maaf,” kata Wallace kepada ahli parlimen.

“Tidak cukup untuk dikatakan saya marah dengan perkara ini, dan saya telah segera mengarahkan siasatan,” tambahnya.

“Seorang individu digantung kerja sementara menunggu hasil siasatan dan proses pengendalian data serta surat-menyurat telah diubah.”

Wallace mengesahkan emel itu dihantar oleh pegawai kementerian pertahanan kepada rakyat Afghanistan yang layak untuk berpindah ke Britain, termasuk sekitar 260 yang masih di Afghanistan.

Kebanyakan e-mel mengandungi gambar.

Seorang jurubahasa memberitahu kesilapan itu “boleh mengorbankan nyawa jurubahasa, terutama mereka yang masih berada di Afghanistan”.

Wallace menegaskan jabatannya akan bekerjasama dengan pengawal selia data Britain, sambil berikrar untuk terus menjalankan pemindahan.

“Saya menjamin bahawa skim ini akan terus beroperasi, membawa orang kembali ke United Kingdom, seramai mana yang layak, selama mana yang diperlukan,” katanya.

Tetapi kesilapan itu telah menimbulkan kemarahan beberapa ahli parti.

Ahli parlimen Konservatif dan bekas menteri veteran Johnny Mercer menggelarnya sebagai “kecuaian bersifat jenayah”.

Tobias Ellwood, pengerusi jawatankuasa pertahanan Konservatif, menggesa Wallace untuk meningkatkan usaha itu dan “mencari cara rahsia untuk menyelamatkan mereka” jika perlu.

Kesilapan e-mel adalah yang terbaru daripada beberapa kesilapan oleh kementerian pertahanan, baik di Britain mahupun di luar negara.

Pada bulan Ogos, akhbar The Times melaporkan ia menemui butiran kakitangan dan pemohon yang tinggal di pekarangan kedutaan British di Kabul, berpotensi mengancam nyawa mereka.

Wallace memberitahu jabatannya telah menerima lebih 68,000 pertanyaan permohonan untuk Dasar Penempatan dan Bantuan Afghanistan UK, yang ditubuhkan bagi membantu jurubahasa dan yang lain.

Sejak Taliban menawan Kabul, Britain sudah memindahkan lebih 15,000 orang dari Afghanistan. — AFP

Advertisement