Anda di sini

Sistem audio DUN Sabah perlu dinaik taraf

Advertisement
 Ali Ahmad (dua kanan) ketika meninjau kakitangan JKR yang mengendalikan sistem audio di bangunan DUN Sabah.
TINJAU: Ali Ahmad (dua kanan) ketika meninjau kakitangan JKR yang mengendalikan sistem audio di bangunan DUN Sabah.

KOTA KINABALU: Sistem audio dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah perlu dinaik taraf kepada teknologi digital bagi mendapatkan mutu suara yang lebih baik semasa bersidang.

Pengarah Kerja Raya Sabah Ali Ahmad Hamid berkata proses naik taraf itu sangat perlu dilakukan selaras dengan perubahan semasa dan perkembangan teknologi hari ini.

“Kebanyakan dewan persidangan termasuk acara rasmi kerajaan sudah menggunakan sistem audio digital yang lebih mudah digunakan.

“Sudah tiba masanya sistem audio sedia ada yang digunakan sejak tahun 2008 itu diganti supaya kesan suara lebih jelas semasa dewan bersidang,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di pusat audio DUN kelmarin.

Terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) ditugaskan menjaga sistem audio semasa DUN bersidang termasuk rakaman secara langsung di portal media DUN dan YouTube yang melibatkan sehingga lapan orang petugas.

 Menurut Ali Ahmad, pihaknya masih menggunakan sistem analog yang sedia ada dan menambah beberapa peralatan digital bagi memastikan audio tidak terjejas ketika perbahasan sedang berlangsung.

Selain itu, katanya, kakitangan yang bertugas terpaksa turun naik ke dalam dewan untuk memastikan audio berfungsi dengan baik sebelum persidangan bermula.

“Cara itu tidak efektif kerana membeli peralatan dan  mengubah suai sistem digital secara berperingkat akan menelan kos yang lebih tinggi.

Justeru, adalah lebih baik audio yang lama ditukar kepada sistem digital secara keseluruhannya supaya dapat menjimatkan kos,” katanya.

Katanya, perkara ini sudah dibincangkan dengan Speaker Datuk Kadzim M Yahya dan bersetuju agar sistem audio tersebut dinaik taraf setanding dengan audio di Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Beliau berkata, kos naik taraf sistem audio lama kepada teknologi digital itu dianggarkan sebanyak RM3.5 juta.

“Pihak JKR akan mengemukakan kertas kerja dan anggaran kos yang diperlukan secepat mungkin kepada Speaker DUN untuk tindakan selanjutnya.

“Selain itu, beberapa cadangan lain akan dikemukakan termasuk pemasangan video digital dan skrin TV yang diletakan di kerusi setiap wakil rakyat untuk kemudahan mereka semasa bersidang,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement