Anda di sini

Rumah pokok, ilham eksekutif berjinak dengan tanaman cili

Advertisement
Sharil, 31, dibantu isteri Nurul Azira Azreen Zulhisham memetik cili api bara hasil dari penanaman secara teknik fertigasi di Rumah Pokok', iaitu sebuah kebun komuniti yang diusahakan secara kecil-kecilan berdekatan Taman Pinggiran Cyber. -Gambar Bernama
Sharil, 31, dibantu isteri Nurul Azira Azreen Zulhisham memetik cili api bara hasil dari penanaman secara teknik fertigasi di Rumah Pokok', iaitu sebuah kebun komuniti yang diusahakan secara kecil-kecilan berdekatan Taman Pinggiran Cyber. -Gambar Bernama

CYBERJAYA: Di tanah seluas suku ekar berdekatan Taman Pinggiran Cyber di sini, kelihatan deretan pokok cili dalam polibeg dengan teknik fertigasi, yang diusahakan oleh Sharil Azrin Damiri, seorang eksekutif di Petronas.

Berjinak dengan tanaman cili secara fertigasi di kawasan rumah dengan 20 pokok cili pada permulaannya, Sharil Azrin, 31, mendapat ilham mengusahakan Rumah Pokok iaitu sebuah kebun komuniti yang diusahakan secara kecil-kecilan, bagi tujuan komersial sejak Jun 2020.

Bercakap dengan Bernama baru-baru ini, bapa kepada dua anak itu berkata minat untuk bercucuk tanam timbul sejak beliau berumur 18 tahun, dan kini ia dapat direalisasikan menerusi Rumah Pokok.

“Kerjaya saya memerlukan saya ‘terbang’ ke luar negara, namun akibat kekangan pandemik COVID-19, saya berada lebih masa di rumah di samping keluarga.

“Jadi, peluang ini dapat digunakan sebaiknya bagi memberikan fokus sepenuhnya kepada Rumah Pokok walaupun bekerja sepenuh masa,” katanya yang turut dibantu isterinya Nurul Azira Azreen Zulhisham.

Memperolehi ilmu asas fertigasi menerusi kursus anjuran Pusat Latihan Formeniaga pada 2019, Sharil Azrin kini mempunyai 600 pokok sayuran yang majoritinya pokok cili selain pokok terung, timun, dan rock melon yang juga ditanam dengan teknik fertigasi.

Antara varieti pokok cili yang ditanam di Rumah Pokok ialah cili api jenis bara, cili Thai (Sakata 508), cili besar (Sakata 461), yang masing-masing mempunyai kelebihan dari segi rasa selain sentiasa terdapat permintaan daripada orang ramai.

Setiap pokok cili yang ditanam melalui teknik fertigasi mempunyai tempoh enam bulan yang dikira sebagai satu musim, dan anggaran purata cili yang dihasilkan setiap pokok adalah 1,000 biji dengan berat keseluruhan antara satu hingga 1.5 kilogram.

Beliau berkata hasil Rumah Pokok mempunyai pelanggan tetap terutamanya pengusaha restoran berdekatan, pembuat sambal yang sentiasa memborong cili api bara dan juga orang ramai yang tinggal di kawasan sekitar, menerusi promosi jualan dibuat sepenuhnya menerusi laman Facebook Rumah Pokok.

“Pengambilan pesanan untuk jualan cili dibuat setiap Isnin hingga Jumaat manakala hujung minggu ditetapkan untuk memetik dan menghantar stok kepada pembeli,” katanya yang menggajikan tiga pekerja bagi memetik cili dengan upah RM4 bagi setiap kilo cili yang dipetik.

Sharil Azrin pada masa sama turut bersedekah hasil kebunnya kepada bank makanan berdekatan taman, selain mengedarkannya ke rumah anak yatim.

Bagi mengekalkan kesegaran dan kelestarian tanaman Rumah Pokok, Sharil Azrin beralih daripada penggunaan racun kimia kepada racun organik buatan sendiri, yang dipelajari dari seorang ahli agronomi.

Bahan racun organik yang digunakan antaranya daun limau purut, cili api, rokok daun tembakau dan sabun pencuci pinggan yang diperap seminggu, dikisar, ditapis dan cecairnya digunakan bagi semburan pada keseluruhan bahagian pokok.

“Beza penggunaan racun organik ialah disembur hampir empat hingga lima kali seminggu berbanding racun kimia setiap dua minggu sekali. Lagipun, Rumah Pokok menggunakan slogan ‘Murah, Segar dan Selamat’ dan pelanggan pun menyukai sayuran organik,” katanya.

Selain menjual sayur-sayuran, Sharil Azrin turut menjual semaian pokok cili serta anak pokok yang dihantar ke nurseri.

“Sebagai rancangan jangka panjang, saya mahu memiliki tanah milik sendiri bagi penanaman cili teknik fertigasi, kerana cili merupakan sayur yang sentiasa ada permintaan,” katanya yang melaburkan simpanan sendiri kira-kira RM5,000 bagi mengusahakan Rumah Pokok. - BERNAMA
 

Advertisement