Anda di sini

Rentas daerah selepas 70 peratus penduduk Sabah lengkap vaksin

Advertisement
 Masidi ketika menyampaikan ucapan penggulungan persidangan DUN.
BERUCAP: Masidi ketika menyampaikan ucapan penggulungan persidangan DUN.

KOTA KINABALU: Kebenaran untuk rentas daerah di seluruh Sabah akan dilaksana selepas 70 peratus penduduk dewasa negeri ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan  negeri memutuskan perkara itu sebagai langkah melaksanakan liberalisasi secara terkawal dan berperingkat dalam menangani pandemik COVID-19 di Sabah.

Menurutnya, keputusan untuk membuka sempadan daerah di seluruh negeri hanya akan dilakukan secara berperingkat dengan melaksanakan semula sistem zon.

Pihaknya turut berbincang dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan mencapai kata sepakat agar Sabah kembali kepada sistem zon dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, langkah itu diambil selepas populasi dewasa Sabah yang lengkap divaksin sudah mencapai 60 peratus.

"Sehubungan itu, kita akan kembali bahagikan Sabah kepada enam zon dan penduduk di setiap zon bebas merentas daerah dalam zon yang sama, kecuali dari atau ke daerah yang belum mencapai tahap vaksinasi 60 peratus," katanya dalam ucapan penggulungan. 

Beliau berkata, tahap vaksinasi populasi dewasa di Sabah yang mencecah 60 peratus adalah pencapaian yang memberangsangkan memandangkan negeri ini menghadapi pelbagai rintangan termasuk ketidakcukupan bekalan vaksin.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan membuka sedikit demi sedikit sektor pengedaran dan perdagangan dalam usaha untuk mengimbangkan di antara nyawa dan kehidupan. 

Dalam pada itu jelasnya, setiap keputusan mahupun perubahan akan dilakukan berdasarkan analisis terhadap data dan situasi semasa.

Beliau turut berkata, setiap keputusan yang dibuat dalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) di peringkat negeri ini dilakukan berdasarkan sains dan bukan emosi. 
 

  • oleh
  • Advertisement