Anda di sini

Polis tahan kontraktor, perdaya mangsa bina rumah tidak wujud

Advertisement
__alt__

BEAUFORT: Polis berjaya menahan lelaki yang juga seorang kontraktor selepas dipercayai memperdaya seorang mangsa dalam urusan pembinaan rumah tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM45,000.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata suspek berumur 37 tahun itu ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada jam 3.30 petang kelmarin.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang menawarkan perkhidmatan bina rumah itu membuat perjanjian dengan mangsa untuk pembinaan rumah seluas 83 meter persegi pada Februari 2017.

“Suspek juga meminta mangsa untuk membuat bayaran pendahuluan sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan,” katanya.

Menurutnya mangsa yang terpedaya kemudiannya melakukan tiga transaksi pembayaran sebagai deposit kepada syarikat milik suspek dengan nilai keseluruhan sebanyak RM43,000.

“Selepas pembayaran dilakukan, kerja-kerja pembinaan rumah bagaimanapun tidak pernah dijalankan sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata mangsa berusaha menghubungi suspek untuk mendapatkan maklumbalas berkenaan projek itu bagaimanapun gagal dihubungi.

“Mangsa kemudiannya pergi ke pejabat penama yang beralamat di Asia City, Kota Kinabalu terkejut selepas mendapati pejabat berkenaan tidak lagi wujud.

“Mangsa yang menyedari tertipu kemudiannya membuat laporan polis dan siasatan terus dijalankan sehingga suspek berjaya ditahan.

“Siasatan lanjut kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement