Anda di sini

Pendekatan konvensional tidak lagi sesuai selesai isu banjir

Advertisement
 Jeffrey (kiri) berbual bersama ADUN Api-Api Datuk Christina Liew (kanan).
DUN: Jeffrey (kiri) berbual bersama ADUN Api-Api Datuk Christina Liew (kanan).

KOTA KINABALU: Pendekatan konvensional tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi membantu menyelesaikan isu bencana alam terutama banjir di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, kementeriannya ada perancangan untuk membuat satu kajian yang lebih terperinci untuk memastikan apa yang berlaku baru-baru ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

"Kalau tidak, kita berterusan buat sesuatu tetapi masih tidak menyelesaikan masalah.

"Justeru, kementerian mengadakan perbincangan untuk menjemput pakar-pakar yang boleh menggunakan teknologi lebih sesuai supaya kita boleh kaji keadaan sungai dan juga iklim.

"Ia melibatkan kajian bagi tempoh 20 tahun lalu  dengan 20 tahun  akan datang supaya perancangan bandar dan pembangunan dapat disesuaikan dengan maklumat sedia ada," katanya.

Pada masa sama jelasnya, dasar baharu juga berkemungkinan perlu dibuat untuk masa depan. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Lee Fatt (DAP-Likas) mengenai perancangan kerajaan menerusi agensi yang berkaitan untuk membuat kajian terperinci dalam perancangan bandar dan pembangunan infrastruktur. 

Jeffrey turut menjawab soalan tambahan Arunarnsin Taib (WARISAN-Gum-Gum) mengenai cadangan naik taraf sistem perparitan dan meluaskan sungai di kawasan DUN Gum-Gum.

Menurutnya, semua projek di kawasan DUN tidak ada perkembangan terkini berikutan masalah-masalah yang timbul sekarang dan ia memerlukan kajian menyeluruh yang dikemas kini menggunakan teknologi sedia ada untuk memastikan penyelesaian dapat dicapai.

"Takkan tiap-tiap tahun banjir, parit kecil akan diperbesarkan. Kalau hujan berlebihan seperti yang berlaku di Penampang baru-baru ini, purata taburan hujan boleh mencapai 451 milimeter (mm) sebulan.

"Baru-baru ini juga jumlah taburan hujan mencapai 281 mm dalam masa lima jam.

"Perubahan cuaca yang melanda ini tidak boleh diramalkan dan kita tidak boleh menggunakan pendekatan konvensional untuk menyelesaikan masalah cuaca yang luar biasa," jelasnya.
 

Advertisement