Anda di sini

Pembentangan Nota Jemaah Menteri, beri kefahaman situasi bencana di Sabah

Advertisement
 Abdul Latif semasa memberikan penerangan berkenaan Nota Jemaah Menteri semasa sesi sidang media di sini semalam.
SIDANG MEDIA: Abdul Latif semasa memberikan penerangan berkenaan Nota Jemaah Menteri semasa sesi sidang media di sini semalam.

KOTA KINABALU: Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad akan membentangkan Nota Jemaah Menteri di Parlimen hari ini.

Beliau berkata nota berkenaan adalah bagi memberi kefahaman kepada barisan kabinet berkenaan situasi sebenar yang dihadapi di Sabah disebabkan bencana banjir kilat baru-baru ini.

“Saya melakukan lawatan kerja di Sabah bagi meninjau situasi bencana yang berlaku di Penampang selain melakukan lawatan mesra ke Kampung Sugud bagi melihat sendiri kesan bencana yang berlaku beberapa jam sebelum Hari Malaysia yang membawa jumlah hujan sebanyak 150mm yang biasanya untuk tiga bulan tetapi berlaku hanya dalam tiga jam.

“Hasil perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta taklimat Jawatankuasa Pengurusan Bencana yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan, saya mengambil keputusan untuk membuat satu Nota Jemaah Menteri  yang akan dibentangkan esok.

“Nota ini adalah bagi memberi kefahaman kepada ahli kabinet berkenaan keadaan bencana di Sabah selain membolehkan sebarang tindakan dapat diambil serta dirancang pada masa hadapan,” katanya semasa sidang media di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah di sini semalam.

Beliau berkata kejadian yang melanda kawasan Penampang adalah permulaan dan semua pihak perlu bersedia dengan bencana yang mungkin melanda berikutan peralihan cuaca pada masa hadapan.

“Kita masih diperingkat monsun barat daya dan dalam beberapa tempoh kita akan menghadapi peralihan monsun timur laut yang dijangka lebih buruk.

“Oleh itu beberapa perkara yang turut dibincang semasa lawatan kerja ini adalah bagaimana pihak Kerajaan Negeri membuat persediaan dengan bantuan daripada Kerajaan Pusat bagi memastikan semua pihak bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan perubahan iklim ini,” katanya.

Beliau berkata bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk semasa peralihan iklim di masa hadapan, pihaknya sudah melaksanakan beberapa tindakan awal untuk menghadapi keadaan ini.

“Kita sudah mempersiap keanggotaan seramai kira-kira 8,000 orang yang terdiri daripada APM, RELA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlatih menangani bencana banjir dan seumpamanya.

“Aset-aset termasuk yang digunakan di air mahupun darat juga sudah disiapkan bagi memastikan operasi penyelamatan atau pemindahan penduduk semasa bencana banjir lebih lancar.

“Untuk itu, peruntukkan untuk memastikan kelancaran operasi semasa bencan alam sudah diagihkan kepad agensi terlibat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement