Anda di sini

Kejayaan powerlifting Sarawak terus jadi tumpuan

Advertisement
Fatimah melihat sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records kepunyaan Bonnie. -Gambar oleh Roystein Emmor
Fatimah melihat sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Records kepunyaan Bonnie. -Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Lima daripada enam atlet angkat berat yang akan menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia di Georgia, Rusia pada November ini berasal dari Sarawak.

Mereka adalah pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo Bonnie Bunyau Gustin, pemenang pingat perak Jong Yee Khie, Bryan Junency Gustin, Azlan Mos dan Nicodemus Manggoi Moses.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia  merupakan satu lagi kejayaan untuk sukan angkat berat di Sarawak.

"Kejayaan mereka ini membuktikan Sarawak menjadi kuasa besar sukan angkat berat di negara dan saya harap kita dapat kekalkan status ini.

"Di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Jamil Adam yang juga orang Sarawak, saya yakin lima atlet angkat berat terutama Bonnie dan Jong akan tetap membanggakan negeri dan negara di kejuaraan dunia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada pasukan powerlifting Sarawak yang diketuai Jamil di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II di sini, pada Rabu.

Fatimah berkata lima daripada 22 atlet pasukan kebangsaan adalah dari Sarawak  dan jurulatih Jamil  antara  yang menyertai temasya Paralimpik Tokyo baru-baru ini.

“Atlet para kita seperti Bonnie dan Jong telah memenangi emas dan perak di Tokyo dan saya harap kita dapat mengekalkan prestasi dan pencapaian ini dalam kejohanan dunia yang akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara kerana membenarkan atlet berlatih di Kuching. 

"Kita juga gembira kerana Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak telah bersetuju untuk memudahkan latihan para atlet dengan menyediakan tempat dan kemudahan latihan," ujarnya.

Beliau turut menyeru semua atlet untuk berlatih bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik di Georgia dan memenangi lebih banyak kejayaan untuk negeri dan negara.

Fatimah dalam pada itu berkata kementeriannya akan mengadakan webinar untuk atlet dan jurulatih negeri sebagai sebahagian daripada persiapan Kontinjen Sarawak untuk menghadapi cabaran di Para Sukan Malaysia (SUKMA) Johor pada 2022.

“Dalam webinar ini, jurulatih Jamil dan atlet para kebangsaan akan berkongsi pengalaman mereka di Paralimpik Tokyo dengan para atlet dan jurulatih Sukma negeri.

"Ini akan menyuntik keyakinan dan semangat baru kepada atlet dan jurulatih negeri kita," tambah Fatimah.

Sementara itu, Jamil menzahirkan rasa bangga dengan atlet angkat beratnya kerana mereka memberi komitmen 100 peratus dalam latihan dan tidak pernah mengelak cabaran.

“Mereka memiliki daya tahan, sangat berdisiplin dan memiliki semangat juang yang kuat.

"Bonnie dan Jong telah memenangi pingat di Paralimpik Tokyo dan kini berada dalam prestasi baik dan saya percaya mereka sudah bersedia untuk satu lagi persembahan yang baik di Georgia," katanya.

Hadir sama, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis dan Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus.
 

Advertisement