Anda di sini

Jadikan lori 'bilik darjah bergerak', demi memastikan anak mengikuti PdPR

Advertisement
Lori yang dijadikan bilik darjah bergerak,untuk anak-anak mengikuti PdPR.
Lori yang dijadikan bilik darjah bergerak,untuk anak-anak Napeia mengikuti PdPR.

LIMBANG: Lori dijadikan ‘bilik darjah bergerak’, itulah   inisiatif yang dilakukan oleh seorang ayah di Kampung Ulak dekat sini dalam memastikan anak-anaknya tidak tercicir mengikuti Pembelajaran Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) berikutan ketiadaan internet di kawasannya.

Bukan itu sahaja, Napeia Apong yang merupakan pesara tentera turut membina bumbung sementara menggunakan kanvas dibelakang lorinya demi memastikan anak-anaknya selesa belajar dan menghalang daripada cuaca panas.

Jelasnya cara itu dilakukan selepas buntu memikirkan masalah ketiadaan internet yang berlaku di kawasan mereka sejak Ahad lepas.

Beliau terpaksa memandu lorinya sambil membawa anak-anaknya belajar di bahagian belakang lori demi mencari capaian internet di bukit berhampiran Kampung Buang Abai.

“Memang payah sebenarnya tiada internet di kampung. Kesian anak-anak dan penduduk kampung yang amat memerlukan internet untuk berhubung dengan dunia luar, inilah realiti yang menimpa sesetengah pelajar pedalaman,” katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, masalah ketiadaan internet sudah diadukan kepada pihak berkaitan Isnin lepas.

Bagaimanapun mereka dimaklumkan masalah tersebut disebabkan kerosakan modem di menara Kampung Binjai dan sedang menunggu alat ganti.

Kerosakan itu turut menjejaskan beberapa buah kampung di sepanjang jalan Telahak hingga Buang Abai sehingga  menyukarkan anak-anak kampung menjalani PdPR.
 
Menurut penduduk kampung lagi akibat ketiadaan internet, mereka juga terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer dengan mendaki bukit berhampiran untuk mencari capaian internet.

“Kampung kami tiada jaringan telefon, jauh sekali jaringan internet, laporan sudah dibuat para hari pertama lagi dan jawapan yang diberikan pihak berkenaan peralatan menara megalami kerosakan dan sedang menunggu alat gantian tersebut sampai,” luah penduduk lagi.

Jelas mereka walaupun terletak di luar bandar, anak-anak mereka juga turut mengikut PdPR seperti anak-anak yang berada di bandar.

“Hari ini sudah masuk hari kelima ketiadaan internet di kawasan kami. Ketiadaan internet memang menjejaskan kehidupan kami di kampung bukan saja anak-anak sukar menjalani PdPR, tetapi kami seperti terputus dengan dunia luar,” kata mereka lagi.

Jelasnya, masalah yang kerap berlaku itu turut menjejaskan pendapatan penduduk yang berniaga yang bergantung dengan aplikasi secara dalam talian seperti laman sosial Facebook, WhatsApp dan Messenger.

“Selain selalu berlaku gangguan bekalan elektrik dan  masalah air tekanan rendah, kini kami terpaksa menanggung kesusahan kerana ketiadaan internet,” kata mereka lagi.

  • oleh
  • Advertisement