Anda di sini

Hanya satu pakej diluluskan tahun ini untuk Pan Borneo di Sabah 

Advertisement
 Bung (kanan) sempat meneliti isu yang dibincangkan bersama ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick (kiri).
TELITI: Bung (kanan) sempat meneliti isu yang dibincangkan bersama ADUN Kadamaian Datuk Ewon Benedick (kiri).

KOTA KINABALU: Hanya satu pakej diluluskan kerajaan Persekutuan tahun ini untuk pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, baki sebanyak 19 pakej lagi (tidak termasuk tiga pakej tambahan) masih menunggu kelulusan peruntukan yang selanjutnya dari kerajaan Persekutuan. 

Menurutnya, pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo terdiri dari tiga fasa iaitu sepanjang 1,236 kilometer  (km) dengan kos sebanyak RM40.2 bilion.

Katanya, bagi jajaran fasa satu sejauh 706 km dengan kos RM15.2 bilion melibatkan 35 pakej yang sudah disiapkan reka bentuknya, manakala 15 pakej lagi dalam peringkat pembinaan sejauh 317.6 km dengan kos sebanyak RM7.98 bilion.

"Satu kesilapan besar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan WARISAN apabila membatalkan rakan pelaksana projek (PDP) tanpa menstruktur terlebih dahulu sukuk bagi memastikan permohonan jalan Pan Borneo di Sabah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Mengikut perjanjian dengan kerajaan Persekutuan, Pan Borneo dilaksanakan melalui infrastruktur dan pembangunan. Jika sukuk tidak diuruskan dan PDP dibatalkan, ia turut menyebabkan terbatalnya sukuk.

"Kontraktor pula membuat perjanjian dengan pihak PDP dan bukannya kerajaan. Justeru, apabila kerajaan waktu itu membatalkan PDP, kontraktor pun berhenti kerja kerana tiada siapa yang membayar mereka," jelasnya dalam ucapan penggulungan.

Bung berkata, berbanding Sarawak yang sudah mencapai 70 peratus siap untuk semua pakej, Sabah masih pada tahap 56 peratus untuk fasa satu.

Beliau turut sedih melihat keadaan itu kerana WARISAN dan PH seharusnya mengusahakan terlebih dahulu sukuk sebelum membatalkan PDP.

Selain itu katanya, semua pakej-pakej projek Pan Borneo yang mengalami kelewatan pelaksanaan fizikal berada pada landasan yang tepat dan sedang dalam proses pembinaan.

"Mengenai kelewatan dua pakej iaitu 'Work Package 01' dan 'Work Package 02' jajaran dari Beaufort ke Sindumin pula, kedua-dua pakej ini sedang dipantau rapi oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR)Sabah.

"Prestasi Fizikal bagi 'Work Package 01' mencapai 59 peratus dan menghadapi sedikit kelewatan disebabkan oleh pengalihan utiliti seperti tiang eletrik dan sub-station, manakala 'Work Package 02' pula mencapai 30 peratus.

"Faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menghadkan bilangan pekerja juga menyumbang kepada kelewatan ini dan biarpun 'Work Package 02' mengalami masalah yang sama, ia masih mengikut jadual yang disasarkan," katanya. 

Beliau berkata, JKR Sabah juga akan sentiasa memastikan sistem perparitan di sepanjang laluan Projek Lebuh Raya Pan Borneo tidak menjadi faktor berlakunya banjir dan ia perlu selalu diselenggarakan.

Bagaimanapun katanya, usaha itu sememangnya tidak dapat melangkaui situasi sekiranya taburan hujan yang luar biasa berlaku tanpa diduga.
 

  • oleh
  • Advertisement