Anda di sini

Hajiji gesa semua wakil rakyat jadi 'pemimpin ekonomi' kepada rakyat

Advertisement
 Hajiji (berdiri) ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah  ke-16.
UCAPAN: Hajiji (berdiri) ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16.

KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat perlu menjalankan peranan sebagai 'pemimpin ekonomi' di kawasan masing-masing dan juga komuniti yang diwakili.

Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, selaku pemimpin kawasan, wakil rakyat adalah individu paling tepat untuk membuat perubahan dalam menggalak dan bekerja bersama-sama rakyat di peringkat akar umbi serta menggerakkan ekonomi setempat.

Katanya, pendekatan terdahulu untuk menunggu program atau aktiviti ekonomi digerakkan oleh kerajaan sudah tidak relevan pada masa kini.

Menurutnya, transformasi ekonomi setempat hendaklah diaktifkan oleh komuniti di bawah kawalan wakil rakyat selaku pembimbing dan penggerak untuk memajukan ekonomi kawasan masing-masing.

"Saranan ini bertujuan supaya rakyat di peringkat akar umbi dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga, komuniti dan kawasan masing-masing.

"Kerajaan dalam hal ini akan berperanan sebagai pemudah cara kepada kegiatan ekonomi yang dipelopori oleh rakyat setempat. 

"Sehubungan itu, saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mohon supaya Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuklah blok pembangkang untuk mengutarakan cadangan, perancangan dan pandangan kepada kerajaan negeri," katanya dalam ucapan penggulungan.

Beliau berkata, pihak urus setia Sabah Maju Jaya (SMJ) akan memperhalusi semua saranan bagi pelaksanaan selaras dengan komitmennya sendiri semasa pelancaran Pelan Pembangunan SMJ 1.0 pada 29 Mac lepas.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga akan memastikan pemimpin Badan-Badan Berkanun Negeri dan anak-anak syarikat milik kerajaan agar menunaikan tanggungjawab dalam memakmurkan khazanah negeri Sabah.

Menurutnya, tanggungjawab untuk menyumbang kepada khazanah negeri bukan lagi satu pilihan, tetapi satu tanggungan yang mesti ditunaikan kepada kerajaan negeri.

"Setiap agensi akan distrukturkan seterusnya menyusun semula organisasi dan pengurusan kewangan masing-masing bagi membolehkan sumbangan kewangan secara berterusan dapat dilaksanakan.

"Tindakan drastik akan diambil termasuklah menghentikan mana-mana aktiviti ekonomi, pelaburan, program atau projek yang tidak menjana hasil sebaliknya menjadi liabiliti kepada organisasi dan juga kerajaan negeri.

"Tanggungjawab korporat sosial yang membebankan organisasi sehingga gagal untuk menunaikan tanggungjawab untuk menyumbang secara konsisten kepada khazanah negeri akan dikaji semula," jelasnya.

Beliau menegaskan, bedah siasat ke atas operasi organisasi, anak syarikat, kerjasama (jointventure), aset yang tidak dimajukan dan seumpamanya akan dibuat dengan serta-merta.

Katanya, tuntutan pada masa kini adalah untuk menterjemah semua aset milik organisasi dapat menjanakan hasil dengan kadar segera.

Dalam pada itu, Hajiji menjelaskan, kerajaan negeri memutuskan untuk menamatkan Perjanjian Lesen Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) bermula 1 September 2021 atas dasar kepentingan awam, sekali gus bagi membebaskan kawasan konsesi berkenaan dari sebarang ikatan dengan penerima dan pengurus (R&M) dan Perjanjian Jual Beli yang tidak ada penyelesaian sehingga kini.

"Kawasan konsesi lesen berkenaan adalah hak Sabah yang tidak boleh digadaikan dan kita mempunyai hak untuk menentukan penggunaan sumber hutan simpan terbabit dengan sebaiknya demi kepentingan umum, khususnya para pekerja dan rakyat Sabah umumnya.

"Kerajaan negeri kini sedang mengambil beberapa strategi dan tindakan untuk memulakan operasi huluan (kawasan konsesi) dan industri hiliran bagi kawasan berkenaan.

"Strategi dan tindakantindakan itu akan dilaksanakan dengan segera agar sumber hutan dapat diurus, kilang-kilang dapat diaktifkan semula dan para pekerja SFI yang terjejas diberikan peluang pekerjaan semula sebaik mungkin," katanya.
 

Advertisement