Anda di sini

Hajiji gesa kerajaan Persekutuan naik taraf infrastruktur musnah akibat banjir

Advertisement
 Hajiji (kanan) menerima kunjungan hormat Latiff (kiri) di kediaman rasmi Sri Gaya.
KUNJUNGAN: Hajiji (kanan) menerima kunjungan hormat Latiff (kiri) di kediaman rasmi Sri Gaya.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa supaya membina semula infrastruktur yang rosak dan musnah akibat bencana banjir di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, sungai dan sistem pengairan dan saliran sedia ada juga perlu dinaik taraf.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga perlu segera menyalurkan peruntukan untuk baik pulih rumah yang terkesan oleh bencana banjir, selain pembaikan kemudahan infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad di kediaman rasminya di Sri Gaya di sini, semalam.

Kedua-dua pihak berbincang mengenai bencana banjir yang berlaku di Sabah dan bantuan untuk mangsa banjir serta peruntukan untuk pembaikan infrastruktur yang akan disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

Latiff berada di Sabah semalam, bagi meninjau dan melawat kawasan bencana di Penampang termasuk kawasan tanah runtuh dan banjir di Kampung Maang, Kampung Sugud Maang dan Kampung Timpagoh.

Beliau juga menghadiri Taklimat Pengurusan Bencana Negeri di Menara Kinabalu dan melawat Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah. 

Hajiji semasa melawat dan meninjau keadaan banjir di Kampung Sugud pada Selasa lalu berkata, kerajaan akan memberi bantuan RM1,000 kepada 937 mangsa yang terjejas banjir di daerah Penampang termasuk penduduk Kampung Sugud. 
 

  • oleh
  • Advertisement