Anda di sini

FMM rayu kerajaan benarkan pekerja lengkap vaksin di kawasan PKPD kembali bekerja

Advertisement
__alt__

KOTA KINABALU: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Sabah merayu agar kerajaan membenarkan pekerja yang sudah lengkap menerima suntikan vaksin di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kembali bekerja.

Pengerusi FMM Sabah James Ha Haw Yew berkata seperti sedia maklum industri pembuatan amat memerlukan pekerja untuk menjalankan operasi harian.

“Memandangkan hampir 90 peratus industri perkilangan di Sabah adalah semi automatik dan walaupun jumlah penurunan hanya 20 peratus operator pekerja ianya berpotensi mengganggu keseluruhan operasi pengeluaran harian dan juga rantaian bekalan.

“Kerajaan Negeri harus mempertimbangkan permintaan ini bagi membolehkan masalah ini ditangani dengan berkesan,” katanya.

Menurutnya industri ini juga mengalami peratusan penurunan perniagaan antara 20 hingga 50 peratus dalam tempoh tiga bulan terakhir.

“Antara faktor penurunan adalah disebabkan bilangan pekerja yang tidak mencukupi untuk menjalankan operasi pengeluaran disebabkan pelaksanaan PKPD di kawasan mereka.

“Selain itu beberapa faktor lain termasuk kenaikan caj muatan, kenaikan harga bahan mentah, permintaan pasaran yang rendah dan masalah kekurangan air di KKIP juga penyebab peratusan penurunan pengoperasian kilang terbabit,” katanya.

Katanya FMM memahami sepenuhnya pelaksanaan PKPD dalam usaha untuk membendung penularan COVID-19 bagaimanapun dalam tempoh ini usaha bersesuaian juga perlu dilaksanakan bagi meningkatkan pemulihan ekonomi setempat.

“Sektor pembuatan perlu lebih ditumpukan sebagai pemangkin pertumbuhan dan sumber utama permintaan untuk pengeluaran dari sektor ekonomi lain.  

“Kami cadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan permintaan agar pekerja yang sudah lengkap divaksin agar kembali bekerja di kilang-kilang dan pihak majikan akan melakukan pemeriksaan pekerja dari kawasan PKPD terbabit dalam tempoh dua minggu sekali.

“Kerajaan Negeri juga dicadang untuk memasukkan agar semua sektor ekonomi disambung semula dan menentukan Peosedur Operasi Standard (SOP) yang diperlukan untuk setiap industri (termasuk sektor pembinaan) dalam pelaksanaan rancangan endemik,” katanya.

Tambahnya pihaknya juga berharap agar proses vaksinasi dapat dipercepatkan di kawasan perindustrian dan pada masa yang sama tidak mengabaikan proses perniagaan.  

Dalam pada itu James berkata sebahagian besar data menunjukkan bahawa kilang bukanlah sumber utama jangkitan COVID-19. Menurut laporan PERKESO, dari 1 Ogos hingga 2 September lalu Sabah mencatatkan 4,686 majikan menerapkan Subsidi Gaji Minimum 4.0.

  • oleh
  • Advertisement