Anda di sini

Empat ejen judi dalam talian diberkas

Advertisement
Pemeriksaan dilakukan oleh anggota operasi di lokasi serbuan.
Pemeriksaan dilakukan oleh anggota operasi di lokasi serbuan.

KUCHING: Empat individu termasuk dua remaja disyaki ejen judi dalam talian diberkas dalam empat serbuan berasingan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan polis.

Menurutnya, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Tangkapan terbaru adalah pada hari ini, di mana dua remaja iaitu seorang lelaki dan perempuan berusia 19 tahun ditangkap dalam serbuan premis kedai makan di Jalan Datuk Stephen Yong dan Batu Kawa.

"Kedua-dua tangkapan dilakukan sekitar tengah hari dan turut dirampas daripada suspek ialah sejumlah wang tunai, telefon bimbit dan kertas tercatit angka dipercayai berkaitan kegiatan perjudian tersebut," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Manakala dua lagi tangkapan membabitkan seorang lelaki berusia 52 tahun dan wanita,22 tahun dilakukan pada Rabu.

"Tangkapan suspek lelaki dilakukan dalam serbuan ke atas sebuah kedai makan di Batu 4 iaitu sekitar jam 1.26 petang.

"Sementara tangkapan membabitkan suspek wanita pula dilakukan di sebuah kedai makan di Batu 7, Jalan Penrissen sekitar jam 4.15 petang," katanya.

Turut dirampas daripada kedua-dua suspek terbabit ialah wang tunai, telefon bimbit dan kertas tercatit angka dipercayai id dan kata laluan judi dalam talian.

"IPD Padawan komited dalam membanteras kegiatan judi dalam talian dan kita mohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan," ujar Aidil.
 

  • oleh
  • Advertisement