Anda di sini

Bekalan vaksin cukup untuk rakyat Sabah yang belum divaksin

Advertisement
 Shahelmey ketika menjawab soalan semasa sidang DUN.
SIDANG: Shahelmey ketika menjawab soalan semasa sidang DUN.

KOTA KINABALU: Jumlah bekalan vaksin yang disediakan kerajaan Persekutuan setakat ini mencukupi untuk menampung keperluan vaksinasi bagi penduduk Sabah yang belum menerima vaksin.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya berkata, di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Negeri Sabah, bekalan vaksin dibekalkan secara percuma oleh kerajaan Persekutuan.

"Setakat 20 September 2021, jumlah bekalan vaksin yang dibekalkan ke Sabah adalah sebanyak 5,042,310 dos.

"Bagi September ini, tambahan sebanyak 2.89 juta dos akan dibekalkan ke Sabah," katanya bagi menjawab soalan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian), Datuk Christina Liew (PKR-Api-Api), Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan), dan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) mengenai program vaksinasi di Sabah. 

Shahelmey berkata, daripada jumlah 5,042,310 dos vaksin berkenaan, ia termasuklah vaksin jenis Pfizer sebanyak 3,388,320 dos, Sinovac 1,284,000 dos, AstraZeneca 189,990 dos, dan CanSino 180,000 dos.

Menurutnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kadar pemberian vaksin di Sabah agak perlahan. Antaranya, bilangan penduduk berumur 60 tahun ke atas yang berdaftar dalam sistem MySejahtera pada permulaan Fasa 2 adalah rendah.

"Faktor lain ialah bekalan vaksin yang terhad sebelum pertengahan Julai lepas. Kerajaan negeri berusaha untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk di negeri ini.

"Sabah dijangka mencapai imuniti kelompok menjelang hujung Oktober depan dan usaha-usaha yang dijalankan termasuklah memperbanyakkan pusat-pusat pemberian vaksin, melaksanakan lebih banyak kempen kesedaran imunisasi, mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi dan melaksanakan pemberian vaksin secara 'walk in' untuk penduduk termasuk penduduk bukan warganegara," jelasnya.

Setakat ini jelasnya, sebanyak 733 program outreach vaksinasi dilaksanakan di seluruh daerah di negeri ini. Melalui program berkenaan, sebanyak 358,284 orang berjaya diberikan suntikan vaksin.

"Pelaksanaan program outreach dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Sabah khususnya yang berada di kawasan pedalaman, terpencil dan pulau-pulau yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) daerah," katanya.
 

Advertisement