Anda di sini

Segera laksana pembangunan pelancongan lebih berkesan

Advertisement
JAUJAN
JAUJAN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu segera memikirkan cara memperkasakan pembangunan pelancongan dengan lebih berkesan kepada rakyat setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong berkata, usaha seumpamanya termasuk dalam Pelan Pembangunan Teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 yang mahu pelancongan manfaatkan kekayaan flora, fauna dan kepelbagaian budaya.

"Bagaimana perkara ini dapat direalisasikan dalam keadaan kita berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang berterusan.

"Adakah sumber pelancongan di Sabah masih merupakan aspek penting dalam menghasilkan pendapatan kepada negeri dan juga kehidupan rakyat tempatan," katanya dalam ucapan bahas pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) Yang Ke-16 di sini, hari ini.

Beliau berkata, Semporna khususnya di kawasan Sulabayan, bidang pelancongan terjejas teruk sejak pandemik mula melanda negara ini.

Katanya, rakyat dahulunya menjual makanan, minuman, kraftangan dan produk tempatan kini hilang pendapatan. Turut terkesan ialah para pengusaha perhotelan serta inap desa (homestay).

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga perlu segera mengatasi kekeliruan dalam melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sering mengelirukan rakyat Sabah.

"Contohnya SOP fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan kerajaan persekutuan membenarkan rentas daerah bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan kad atau sijil vaksinansi COVID-19.

"Bagaimanapun, SOP Sabah tidak membenarkan rentas daerah kecuali atas urusan kecemasan (perubatan, bencana, kematian), pekerjaan dengan surat majikan, temu janji vaksin dan perkhidmatan essential services sahaja," katanya.

Dalam pada itu katanya, adakah pelan penekanan kepada pelancongan dapat direalisasikan untuk membantu menjana ekonomi rakyat setempat sekiranya kes COVID-19 masih lagi tinggi walaupun dimaklumkan bahawa kadar vaksinasi orang awam semakin mencapai tahap imunisasi maksimum.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga perlu memberikan perhatian kepada kehidupan para nelayan di Semporna khususnya Sulabayan.

"Cuaca yang tidak menentu telah menjejaskan pendapatan para nelayan, lebih-lebih kini dalam keadaan pandemik.

"Selain itu, rakyat Semporna juga berharap lebih banyak bantuan makanan dapat disalurkan kepada mereka yang terjejas. 

"Banyak berita mengenai bantuan yang diuar-uarkan sampai di Sabah tetapi pada masa yang sama, kita masih terima aduan daripada rakyat mengatakan mereka tidak menerima bantuan berkenaan," katanya.

Jaujan berharap kerajaan negeri dapat menyalurkan lebih banyak maklumat tepat dan telus berdasarkan statistik serta data untuk dilihat oleh rakyat.
 

  • oleh
  • Advertisement