Anda di sini

Perniagaan masa depan perlukan sifat ketangkasan, kelestarian dan ketahanan 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Perniagaan di masa depan memerlukan tiga sifat utama iaitu ketangkasan, kelestarian/kemampanan dan ketahanan terutama dalam keadaan ekonomi yang terganggu disebabkan oleh pandemik, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Syed Zaid Albar.

Sebagai contoh, beliau berkata berikutan penularan pandemik ini, dunia kini menyaksikan perniagaan "brick and mortar" (secara fizikal) beralih kepada "klik dan pesan".

"Kemampuan untuk mencipta semula, mempelajari kembali dan melakukan transformasi amat penting bagi syarikat untuk bertindak balas terhadap risiko yang muncul dan kekal relevan di masa depan.

"Nilai seterusnya adalah kesinambungan. Strategi perniagaan yang lestari atau mampan bertujuan memberi kesan positif kepada persekitaran dan masyarakat. Ia akan menangani dalam konteksnya sendiri, beberapa masalah yang paling mendesak di dunia antaranya seperti perubahan iklim, penipisan sumber semula jadi dan isu hak asasi manusia," tambah beliau.

Syed Zaid berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian secara maya Business Foresight Forum 2021: Transformative Innovation Reshaping Business Realities in Extraordinary Times di sini hari ini.

Sejak bermulanya pandemik ini, beliau berkata  syarikat yang mempunyai amalan kelestarian yang baik lebih berdaya tahan daripada pasaran yang lebih luas.

Dalam menghadapi ketidakpastian yang semakin meningkat, Syed Zaid menambah proses harus berkembang dan berubah yang mana pendekatan secara tradisional untuk mencapai kecekapan pengeluaran yang lebih besar tidak lagi optimum dalam persekitaran yang tidak pasti ini.

"Sebagai contoh, syarikat mungkin perlu membuat pengurangan dalam rantaian bekalan mereka bagi mengurangkan risiko gangguan. Ini termasuk memanfaatkan teknologi adaptif yang membolehkan proses dibentuk semula dengan mudah.

“Memperkuatkan ketiga-tiga ciri ketangkasan, kelestarian dan ketahanan ini tidak  mudah dan tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Untuk membentuk semula realiti perniagaan dalam masa yang luar biasa dan mencabar, para pemimpin harus memiliki kematangan dan kerendahan hati. Hanya dengan itu mereka dapat menerapkan perubahan, memperbaiki dan mencari jalan keluar untuk membawa ke hadapan organisasi mereka," tambahnya.

Di tengah-tengah gangguan yang disebabkan oleh pandemik berkenaan, Syed Zaid berkata dunia kini melihat inovasi teknologi yang lebih hebat.

"Penggunaan arus perdana teknologi seperti 5G, pengkomputeran awan dan Kecerdasan Buatan (AI) telah membentuk semula pasaran modal serta infrastruktur mereka. Ia telah membentuk tingkah laku pelabur baharu, mengubah bagaimana penerbit mengumpul dana, sehingga mentakrifkan semula perantaraan.

"Tanpa ragu, kemajuan dan inovasi teknologi seperti itu tidak akan berhenti. Dan kita boleh jamin bahawa teknologi dan inovasi digital juga akan terus mentakrifkan semula landskap korporat masa depan," ujar beliau.

Sementara itu, Syed Zaid berkata keadaan iklim merupakan satu lagi trend utama yang tidak boleh dipandang ringan.

Seperti COVID-19, beliau menambah bencana alam sekitar tidak memiliki sempadan dan merupakan ancaman yang wujud bagi semua dan laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang dikeluarkan bulan lepas disifatkan sebagai "kod merah untuk kemanusiaan".

Laporan ini berserta bencana iklim yang dapat dilihat dan berterusan di seluruh dunia, akan memastikan bahawa iklim kekal dalam agenda global dan domestik untuk masa depan yang dapat diramalkan, katanya.

Beliau turut mengetengahkan trend lain yang berkaitan iaitu peningkatan ekonomi pihak berkepentingan dan penekanannya terhadap penciptaan nilai jangka panjang - menyaksikan perniagaan memikul tanggungjawab yang lebih besar di luar keuntungan jangka pendek - dengan mengambil kira keperluan sekumpulan pemegang kepentingan yang lebih luas, katanya.

Ketika kerajaan berjuang untuk mengatasi kenaikan kos keselamatan sosial dan penduduk yang menua, Syed Zaid berkata lebih banyak tanggungjawab diberikan kepada komuniti perniagaan.

Selain itu, pengerusi SC itu juga menyentuh mengenai peralihan dalam persekitaran geopolitik yang mempengaruhi hubungan ekonomi serta perdagangan sambil menambah perubahan sifat kerjasama, persaingan dan ketegangan antara ekonomi terbesar di dunia bukan hanya sekadar risiko jangka pendek, tetapi akan memberikan implikasi berlanjutan terhadap rantaian nilai global serta piawaian tadbir urus teknologi dan data.

"Justeru, pandemik COVID-19 telah banyak mengajar kita. Sebagai contoh, kita belajar daya tahan dalam memerangi musuh yang tidak kelihatan. Kita dipaksa berfikir sendiri dan menjadi tangkas hampir dalam sekelip mata. Kita perlu memikirkan semula cara kita bekerja. Kita menerapkan perubahan dan menyesuaikan diri dengan normal baharu kerana pandemik ini.

"Namun begitu, pandemik ini belum berakhir lagi. Ini bermaksud jalan ke hadapan masih lagi tidak menentu.  Dalam keadaan perubahan yang berterusan ini, kita mesti terus memantau trend yang muncul dan trend masa akan datang. Cabarannya bukan untuk meramalkan masa depan tetapi menangani sesuatu yang tidak dapat diramalkan," tegas beliau. - Bernama 

Advertisement