Anda di sini

Kerajaan sangat telus belanja peruntukan bakul makanan: Masidi

Advertisement
 Masidi ketika menjawab soalan tambahan berhubung bantuan bakul makanan.
SIDANG: Masidi ketika menjawab soalan tambahan berhubung bantuan bakul makanan.

KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat disaran segera membuat laporan polis jika mendapati berlaku penyelewangan dalam pembelian barangan untuk bantuan bakul makanan.

Menteri Kewangan II yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, semua wakil rakyat kerajaan dengan senang hati akan bersama-sama membuat laporan polis sekiranya ada didapati berlaku penyelewangan.

Katanya, kerajaan negeri sangat telus dalam membelanjakan peruntukan untuk membeli barangan bantuan bakul makanan agar sampai kepada rakyat yang memerlukan.

Sehubungan itu katanya, jika ada dalam kalangan wakil rakyat yang memikirkan ada berlaku penyelewengan supaya segera membuat laporan polis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Phoong Jin Zhe (DAP-Luyang) mengenai nilai sebenar bagi setiap bakul makanan yang disampaikan kepada rakyat di negeri ini berdasarkan jumlah peruntukan yang disediakan kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Masidi berkata, pengiraan nilai bantuan bagi setiap bakul makanan tidak boleh dikira secara mudah memandangkan peruntukan yang disediakan turut melibatkan beberapa pecahan tertentu termasuk permintaan tambahan yang tidak melibatkan barangan makanan.

Menurutnya, kerajaan negeri meluluskan peruntukan Bantuan Bakul Makanan 3.0 (Tambahan) sebanyak RM15 juta dan sehingga 21 September lepas, sebanyak 115,208 bakul makanan sudah diagihkan kepada para penerima.  

Katanya, kerajaan Persekutuan turut menyediakan peruntukan bantuan bakul makanan berjumlah RM34.3 juta membabitkan golongan B40 (242,911 orang), e-Kasih (77,059 orang) dan 169,526 orang bagi penduduk yang menjalani kuarantin di rumah dan terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).  

"Sebenarnya semua wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang faham apabila balik ke kawasan masing-masing, memang menyedihkan melihat keadaan rakyat yang susah serta hilang pekerjaan.

"Justeru, kadang-kadang bila ada yang datang minta bantuan, ia bukan sahaja minta bantuan makanan, tetapi bantuan lain dan kita juga perlu menyampaikan bantuan yang diminta," katanya.

Selain itu jelasnya, semua pembelian makanan dibuat oleh Jawatankuasa Pusat COVID-19 Daerah yang dipengerusikan oleh pegawai daerah.

Sehubungan itu beliau berkata, harga setiap barangan yang dibeli untuk bakul makanan tidak akan sama mengikut daerah.
 

  • oleh
  • Advertisement