Anda di sini

Kampung Patarikan dinaiki air, tiada pemindahan dibuat

Advertisement
Kampung Patarikan Merapok Lawas yang dinaiki air awal pagi tadi
Kampung Patarikan Merapok Lawas yang dinaiki air awal pagi tadi.

LAWAS: Sepasukan anggota bomba dikerah ke lokasi banjir awal pagi tadi bagi memantau keadaan dan keselamatan penduduk yang dinaiki air di Kampung Patarikan, Merapok dekat sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas Zaki Husin berkata empat anggota melibatkan dua kenderaan bomba bergegas ke lokasi banjir sebaik menerima maklumat jam 1.30 pagi.

Katanya keadaan gelap tidak menghalang anggotanya untuk turun ke lokasi yang jauhnya 37 kilometer dari balai untuk melakukan khidmat khas banjir kilat.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati benar berlaku banjir kilat, cuaca dalam keadaan baik dan tidak hujan.

"Paras air naik disebabkan oleh limpahan air sungai dari Sindumin, Sabah dan pertembungan air pasang,” katanya hari ini.

Zaki berkata keadaan terkawal dan tiada pemindahan dilakukan.

“Air mulai surut jam 3.22 pagi dan setelah didapati keadaan selamat serta paras air tidak membimbangkan pasukan bomba bertolak balik ke balai jam 3.23 pagi," katanya lagi.

Advertisement