Anda di sini

Definisi pribumi dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dikemas kini 

Advertisement
 

KUCHING: Definisi penduduk pribumi Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan selalu menjadi perhatian bagi negeri kerana definisi semasa tidak menggambarkan dengan tepat kepelbagaian bangsa dalam populasi penduduknya.

Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (gambar) berkata, selain daripada orang Melayu, Cina dan Dayak, penduduk pribumi yang lain sering kali akan dikategorikan sebagai 'lain-lain'.

"Untuk mengatasi keadaan ini, kami telah mengusulkan agar definisi penduduk pribumi diperbaharui untuk mencerminkan pelbagai bangsa berbeza di negeri ini. Namun, ia merupakan tugas yang menggentarkan, apatah lagi apabila melihatkan kepada jumlah bangsa di negeri ini.

"Oleh itu, kami mendapatkan bantuan Majlis Adat Istiadat dalam usaha untuk membuat senarai yang spesifik dan selengkap mungkin bagi memastikan tidak ada penduduk pribumi Sarawak berasa terpinggir," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Dalam pada itu, Sharifah Hasidah juga menyatakan yang dua tahun ini merupakan tempoh mencabar berikutan wabak COVID-19 melanda bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

Namun di sebalik cabaran ini katanya, Sarawak tetap teguh dalam usahanya untuk menuntut kembali semua hak yang terhakis.

“Persekutuan yang ada kini ditubuh berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang ditandatangani oleh Singapura, Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

"Kepentingan MA63 terhadap pembentukan Malaysia menuntut agar perjanjian itu diakui dalam Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak akan terus berusaha dalam mencapai objektif ini," katanya.

Oleh itu katanya, kerajaan Sarawak telah mengusulkan agar pindaan tertentu dibuat terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Pertama, Artikel 1 (2) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk menggambarkan secara tepat komponen-komponen Persekutuan baharu, selari dengan aspirasi dan semangat nenek moyang kita ketika mereka menandatangani perjanjian tersebut 58 tahun yang lalu.

“Kedua, kami telah mengusulkan agar Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menekankan bahawa Persekutuan Malaysia memang ditubuh berdasarkan Perjanjian 1963 dan bukan Perjanjian 1957.

"Kami juga sudah mencadangkan agar geran khas itu dikaji semula mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Kerajaan Sarawak katanya, telah mengemukakan pandangan negeri mengenai bagaimana proses peninjauan harus dilakukan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ini katanya, adalah untuk memastikan semakan atau tinjauan selanjutnya akan dibuat berdasarkan prinsip dan faktor yang sama.

"Kami benar-benar berharap agar pindaan-pindaan ini dibentangkan dan disahkan dalam sidang Parlimen agar negeri dapat terus maju serta terus memacu agenda kerajaan untuk membangunkan Malaysia, sekali gus menjadikannya negeri lebih baik," kata Sharifah Hasidah.

Advertisement