Anda di sini

19 pusat panggilan judi dalam talian diserbu sejak Jun

Advertisement
Aidi, Ahsmon dan Merbin pada sidang media mengenai tangkapan pusat panggilan judi dalam talian, hari ini.

KUCHING: Sebanyak 19 pusat judi dalam talian dilumpuhkan dengan 114 tangkapan direkodkan untuk Ops Dadu Khas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sejak Jun baru baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata seramai 114 orang ditangkap dalam serbuan tersebut dan lima daripadanya adalah ketua sindiket.

Menurutnya, kejayaan tersebut membabitkan rampasan pelbagai jenis peralatan perjudian termasuk komputer dan telefon bimbit mencecah RM50,000.

"Operasi khas ini yang diaktifkan sejak Jun 2021 merekodkan 19 serbuan pusat judi dalam talian dan 114 tangkapan iaitu 81 lelaki dan 33 perempuan, di mana 69 daripadanya adalah warganegara asing.

"Untuk makluman, lima daripada yang ditangkap adalah 'tauke' dan mereka telah dituduh dan dijatuh hukum di mahkamah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya juga, sebanyak 15 kes yang direkodkan telah dituduh dan dijatuh hukum dan baki empat kes masih dalam siasatan.

Aidi turut memberitahu terbaharu IPD Kuching menyerbu dua unit pangsapuri di Jalan Datuk Tawi Sli, di sini yang dijadikan pusat operasi judi dalam talian.

Katanya, seramai 24 warganegara asing ditahan dalam serbuan tersebut yang terdiri daripada 17 lelaki dan 7 wanita berusia lingkungan 20 hingga 47 tahun.

"Kesemua tangkapan adalah pekerja (operator) pengendalian perjudian dalam talian semenjak dua bulan lepas dengan bayaran gaji RM1,500 sebulan dan dijanjikan bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi," katanya.

Jelas beliau, usaha mengesan ketua sindiket masih giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh tampil membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati pusat perjudian ini beroperasi 24 jam sejak dua bulan lepas berdasarkan kepada rekod dan transaksi yang disemak.

"Jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut sebanyak RM2,500 sehari dan nilai keuntungan masing-masing bagi tempoh enam bulan adalah sekitar RM350,000," katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda dari RM5,000 hingga RM50,000 serta penjara sehingga tiga tahun.

"Manakala kesemua warga asing yang ditangkap juga disiasat di bawah Seksyen 51(5)(B) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Pasukan serbuan turut merampas 14 komputer, 17 telefon bimbit dan peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan perjudian tersebut.

Hadir sama dalam sidang media ialah Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah dan timbalannya Superintenden Merbin Lisa.

  • oleh
  • Advertisement