Anda di sini

Pengedar dadah tumpas selepas empat kali seludup dadah ke Indonesia

Advertisement

SERIAN: Empat kali terlepas mengedar 72 kilogram (kg) dadah dengan upah terkumpul RM144,000 menyebabkan seorang lelaki semakin berani dan sanggup mengedar lebih banyak dadah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata suspek 48 tahun itu bagaimanapun tumpas apabila berjaya ditangkap cuba menyeludup 36 kg dadah jenis syabu di Kilometer 8 berhampiran Kampung Sejijak di Jalan Tebedu-Serian.

Menurutnya, suspek ditangkap Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas untuk Op Benteng sekitar jam 5 pagi pada 18 September baru-baru ini.

"Semasa diperiksa, didapati terdapat empat beg di dalam kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) yang dipandu suspek dan di dalamnya mengandungi 36 kg dadah jenis syabu bernilai RM1.296 juta.

"Siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai 'penghantar' dadah tersebut dari Miri dengan upah RM2,000 bagi setiap 1 kilogram dadah yang dihantar," katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian hari ini.

Aidi (dua kanan) bersama pegawai kanan PGA dan IPD Serian menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.- Gambar oleh Chimon Upon.
Aidi (dua kanan) bersama pegawai kanan PGA dan IPD Serian menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek.- Gambar oleh Chimon Upon.

Jelas Aidi, kesemua dadah yang dirampas daripada suspek diletakkan di dalam bungkusan teh China bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kita percaya dadah tersebut datang dari Semenanjung kerana bungkusannya serupa dengan bungkusan dadah yang dirampas sebelum ini di Semenanjung.

"Dadah dibawa masuk ke Miri dan dihantar suspek ke Indonesia untuk pasaran di negara tersebut," katanya.

Dedah beliau juga, dadah tersebut bernilai dua kali ganda lebih tinggi di Indonesia ekoran permintaannya yang tinggi.

"Suspek mengaku menghantar dadah kepada seorang lelaki warga Indonesia yang tidak dikenali," katanya.

Tambah Aidi, suspek selain mengaku terlibat kegiatan pengedaran dadah tersebut sejak April tahun ini.

"Dia turut mendedahkan telah membuat empat transaksi (penghantaran) iaitu 18 kg (dadah) bagi setiap transaksi dengan upah yang sama (RM2,000/1 Kg).

"Bagaimanapun, kali ini dia berjaya ditumpaskan," katanya.

Suspek kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali," tegasnya.

Suspek selain itu turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Turut dirampas dalam operasi tersebut ialah wang tunai RM572, jam tangan dan kereta MPV yang digunakan suspek.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyekat dan melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah.

"Maklumat juga akan disalurkan kepada Bahagian Risikan Antarabangsa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman," katanya.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Ketua JSJN Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin, Timbalan Komander Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah dan Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis.

  • oleh
  • Advertisement