Anda di sini

Kembali semula ke sekolah: Antara kelegaan guru dan dilema ibu bapa

Advertisement
 

Oleh Fatin Najmi Mohammad Shah

PEMBUKAAN semula sesi persekolahan secara bersemuka membabitkan kelompok pelajar tertentu di negeri-negeri fasa dua dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 3 Okt ini, dijangka dapat meleraikan beberapa isu pendidikan yang membelenggu guru, pelajar dan ibu bapa sejak COVID-19 menular di negara ini pada awal tahun lepas.  

Selain menangani isu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang penuh dengan pelbagai ragam dan kisah, pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka dilihat dapat membantu mengurangkan kelesuan dan kehilangan motivasi pelajar yang  kini pada tahap membimbangkan.

Meskipun terdapat  kekhuatiran dalam kalangan ibu bapa berikutan kes jangkitan yang masih lagi tinggi selain vaksinasi ke atas pelajar belum menyeluruh, perlu ada langkah permulaan ke arah pemulihan bagi memastikan sistem pendidikan terus berjalan lancar.

Beberapa  guru yang dihubungi meluahkan kelegaan dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) itu berikutan pelbagai masalah dihadapi mereka semasa melaksanakan PdPR.

LEGA SEKOLAH BERSEMUKA DIBUKA

Nur Sabrina Mansor, 30, meluahkan keterujaan untuk kembali berada di hadapan kelas fizikal dan mengajar secara bersemuka yang baginya adalah kaedah pengajaran terbaik.

Guru pemulihan di Sekolah Kebangsaan Seksyen 27(2) Shah Alam, Selangor itu berkata kepuasan mengajar baginya adalah apabila dapat memantau dan memberikan bimbingan kepada pelajar secara bersemuka.

“Lega apabila pengumuman pembukaan sekolah secara berperingkat ini dibuat. Walaupun ada kebimbangan terutama dengan bilangan kes yang masih lagi tinggi, pengumuman itu memberi ruang untuk membuat persiapan rapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama.

Selangor kini berada di bawah Fasa Dua PPN dan pengoperasian sekolah secara bersemuka hanya untuk sekolah rendah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, sementara sekolah menengah pula melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan itu pada akhir Oktober ini.

Turut meluahkan perasaan sama Nor Amirah Abdul Hamid, 31, yang mengakui tidak sabar untuk kembali ke sekolah bertemu dengan pelajarnya secara bersemuka, namun buat masa ini terpaksa akur apabila hanya murid berkeperluan khas dan prasekolah sahaja dibenarkan hadir pada 3 dan 4 Okt ini untuk sekolah di bawah Fasa Tiga PPN.

Guru subjek Sejarah di Sekolah Kebangsaan Dr Sulaiman, Tampin, Negeri Sembilan itu mengakui cabaran besar yang dihadapinya ketika sesi PdPR ialah memastikan kehadiran murid.

Di sebalik kesukaran itu, PdPR juga mempunyai sisi positif apabila semakin ramai guru menguasai kemahiran teknologi maklumat.

“Saya kini lebih mahir membuat slaid yang interaktif bagi menarik perhatian pelajar berbanding semasa awal pelaksanaan PdPR dahulu.

 “Selain itu, kami (guru) dapat mengetahui apakah kekangan yang dihadapi seseorang pelajar apabila kami kerap berkomunikasi secara terus dengan ibu bapa, dan perkara ini menjadikan kami lebih bertimbang rasa serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membantu pelajar,” katanya.

BANTU KEMBALIKAN MOTIVASI PELAJAR

Bagi ibu bapa pula, mereka berharap pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka mengikut fasa itu akan dapat mengembalikan motivasi anak-anak yang sudah lesu mengikuti pembelajaran secara PdPR.

Sekalipun begitu, hakikat penularan COVID-19 masih tinggi di negara ini meletakkan ibu bapa dalam dilema seperti yang dikongsikan oleh Ahmad Qhuffry Hazlan, 36.

Katanya beliau belum dapat memutuskan sama ada akan membenarkan dua anaknya - Ahmad Qhaliff Imran Ahmad Qhuffry, 12, dan Ahmad Qhayyum Zaquan Ahmad Qhuffry, 9, - ke sekolah atau sebaliknya.

Beliau yang menetap di negeri fasa empat iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, tetap berasa bimbang walaupun kes jangkitan di wilayah itu sudah terkawal. 

“Murid sekolah rendah iaitu Tahun 1 dan  Tahun 2 dibenarkan hadir secara penggiliran bermula 17 hingga 31 Okt nanti, namun kegusaran saya ialah kemampuan guru-guru untuk mengawal murid sekolah rendah ini  mematuhi SOP.

 “Pada masa sama, saya juga risau jika anak-anak terlalu lama mengikuti PdPR kerana penumpuan mereka terganggu selain kemudahan Internet di Labuan kurang memuaskan, sekali gus menyukarkan mereka belajar dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Nor Hasimah Hassan, 58, menyambut positif langkah pembukaan sekolah kerana yakin anaknya, Nur Aliyyah Mohd Raszali, 19, pelajar tingkatan enam di Putrajaya yang sudah lengkap vaksinasi mampu mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan pihak sekolah.

UTAMAKAN KELAS PEPERIKSAAN

Di sebalik ketetapan KPM berhubung pembukaan semula persekolahan bersemuka, masih ada pakar pendidikan berpendapat langkah itu sepatutnya cuma membabitkan pelajar yang akan berdepan dengan peperiksaan seperti STPM dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berpendapat kesesakan di sekolah boleh dikawal sekiranya hanya pelajar peringkat menengah atas dibenarkan hadir sehinggalah pandemik dapat dikawal dengan lebih baik atau sehingga 90 peratus rakyat Malaysia yang layak telah lengkap vaksinasi.

“Pelajar peringkat menengah rendah masih boleh meneruskan PdPR seperti biasa,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, kebenaran kehadiran untuk sekolah rendah pula lebih wajar bagi murid Tahap 2 sahaja (merangkumi Tahun 4-6)  manakala murid-murid  Tahap 1 (Tahun 1-3) perlu meneruskan PdPR.

Kaedah itu dijangka lebih baik berbanding kehadiran secara penggiliran kerana tidak semua sekolah mempunyai infrastruktur  dan prasarana yang lengkap dan berfungsi.

“Kekeliruan dan kesukaran juga dijangka berlaku kepada ibu bapa dalam hal penjagaan anak-anak apabila kaedah penggiliran persekolahan dijalankan.

“Perkara ini menyukarkan terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak bersekolah kerana perlu memantau anak mana yang akan ke sekolah dan yang mana duduk di rumah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan KPM lebih luwes dalam hal persekolahan bersemuka itu dengan mengambil kira pandangan dan budi bicara pengetua dan guru besar yang lebih memahami situasi ketersediaan guru, sumber dan infrastruktur teknologi maklumat di sekolah masing-masing.

JANGAN RISIKOKAN PELAJAR

Sependapat dengan Azlin Norhaini, pensyarah Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, UKM Dr Anuar Ahmad meluahkan kebimbangan dengan risiko yang akan dihadapi pelajar terutamanya mereka yang belum divaksinasi.

Mengambil contoh kes di Texas, Amerika Syarikat bulan lepas, Anuar berkata sekolah di sana terpaksa ditutup kembali selepas beberapa minggu dibuka apabila berlakunya penularan COVID-19 secara besar-besaran di sekolah.

“Selain itu, sistem penggiliran dijangka memberi bebanan kepada guru apabila mereka terpaksa mengajar dua kali.

“Saya cadangkan sistem penggiliran ini dijalankan mengikut tingkatan, yang mana lebih mudah untuk guru-guru mengajar dan pemantauan pematuhan SOP juga mudah untuk dijalankan,” katanya.

Anuar berkata keupayaan guru untuk mengajar secara PdPR juga sudah meningkat jika dibandingkan semasa awal pelaksanaannya dahulu.

“Kejayaan PdPR ini dapat dilihat berdasarkan keputusan cemerlang SPM 2020 dan Laporan Tahunan 2020 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025,” katanya.

Mengulas mengenai isu itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan tidak menafikan pelan perancangan pembukaan sekolah yang diumumkan tersebut adalah komprehensif, rapi dan tuntas, namun ada beberapa isu yang perlukan kepastian. 

“Beberapa perkara harus diambil kira seperti berapakah peratusan vaksinasi yang menjamin sesebuah sekolah itu selamat? Jika hanya 30 peratus warga sekolah yang divaksinasi, adakah ia selamat?” katanya.

Beliau berkata dasar pemberian vaksin kepada pelajar yang berumur 12 hingga 15 tahun juga harus dimuktamadkan kerajaan bagi melancarkan proses PdP secara bersemuka itu. - Bernama 

Advertisement