Anda di sini

DTTAS garis tiga cadangan untuk KPM selesai isu guru Bahasa Iban

Advertisement
 

MIRI: Sudah tiba masa bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi perhatian dan keutamaan dalam  menyelesaikan masalah kekurangan guru mata pelajaran Bahasa Iban di negeri dengan mengambil tindakan segera. 

Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) turut melahirkan kebimbangan bahawa kelewatan mereka menyelesaikan masalah itu kelak boleh memberi implikasi dari aspek kualiti terhadap standard Bahasa Iban secara menyeluruh dan pasti akan menjadi isu kritikal pendidikan di Sarawak.

Presidennya, Elias Lipi Mat (gambar) berkata DTTAS turut menggariskan tiga cadangan yang wajar diteliti oleh KPM sebagai jalan penyelesaian, iaitu pertama pengambilan seramai 18,702 secara ‘one-off’ yang bakal dilaksanakan, kekosongan bagi guru mata pelajaran Bahasa Iban sekolah rendah dan di sekolah menengah wajar dipenuhi.

Kedua, KPM memberi keutamaan kepada para graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan graduan yang mempunyai ijazah perguruan dari institutsi yang diktiraf untuk mengisi kekosongan tersebut.

Ketiga ialah jumlah pelajar yang mengikuti pengajian di Institut Perguruan dalam pengajian Bahasa Iban dapat ditambahkan jumlah mereka kepada sekurang-kurangnya 100 orang pelatih pada setiap tahun. 

"Ini bagi memastikan guru mata pelajaran Bahasa Iban tidak akan berdepan dengan masalah kekurangan guru mata pelajaran ini lagi pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini. 
 
Beliau memberitahu kekurangan guru dalam subjek Bahasa Iban akan menjadi isu kritikal dalam Pendidikan sekiranya gagal diselesaikan secara komprehensif oleh KPM. 

"Bahasa Iban harus diberi keutamaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandangkan bahasa itu sudah diiktiraf di peringkat tinggi dalam sukatan pelajaran di negara ini. 

"Justeru DTTAS menyambut baik usul yang dibahaskan oleh YB Datuk Robert Lawson Chuat di Dewan Rakyat supaya KPM menangani segera isu kekurangan guru Bahasa Iban di Sarawak," tambah beliau. 

"Oleh yang demikian, kita menggesa agar saranan beliau wajar diberi keutamaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Sekiranya masalah ini tidak ditangani, ia dibimbangi menjejaskan usaha untuk meningkatkan penguasaan bahasa Iban di kalangan generasi muda Sarawak memandangkan bahasa itu sudah diiktiraf dalam sukatan pelajaran negara," katanya lagi. 

Mengulas lanjut Elias berkata, Bahasa Iban bukan lagi bahasa etnik/sukuan untuk kegunaan dan dituturkan oleh komuniti Iban semata-mata, tetapi sudah berkembang menjadi salah satu bahasa yang dimiliki dan dapat dipelajari rakyat secara keseluruhannya.

"Justeru, aspek keperluan tenaga pengajar Bahasa Iban sama ada di sekolah rendah atau sekolah menengah di negara kita sangat-sangat dituntut,” ujar beliau.  

Elias memberitahu jika kekosongan itu terus dilupakan, maka sukar untuk memastikan bahasa Iban (bertulis dan lisan) akan terus dihargai oleh generasi baru, bukan sahaja sebagai sebuah “bahasa ibunda”, tetapi sebagai sebuah budaya dan memastikan bahasa itu terus terpelihara.
 

  • oleh
  • Advertisement