Anda di sini

Abdullah: Perjuangan memerangi COVID-19 tagih kerjasama semua

Advertisement
Abdullah pada Taklimat Kepolisan Komuniti Daerah Meradong di bangunan lama Pejabat Daerah Meradong, di Bintangor hari ini.
Abdullah pada Taklimat Kepolisan Komuniti Daerah Meradong di bangunan lama Pejabat Daerah Meradong, di Bintangor hari ini.

BINTANGOR: Perjuangan memerangi COVID-19 menuntut kerjasama, timbangrasa dan pengorbanan semua pihak, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Abdullah Saidol.

Malah, ia menuntut komitmen tinggi dalam kalangan ketua masyarakat dan tuai rumah agar sentiasa mengingatkan anak buah masing-masing menitikberatkan soal penjagaan kesihatan dan mematuhi garis panduan (SOP).

Beliau menyarankan agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menubuh jawatankuasa kecil di kampung atau rumah panjang untuk memantau pematuhan SOP.

“Walaupun semua sudah divaksin, bukan bermakna SOP asas seperti penggunaan pelitup separuh muka, amalan mencuci tangan atau kebersihan diri serta mengelak kawasan yang ramai orang harus diabai atau diambil ringan,” katanya berucap pada Taklimat Kepolisan Komuniti Daerah Meradong di bangunan lama Pejabat Daerah Meradong, di sini hari ini.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata lagi, mereka yang dalam kategori berisiko tinggi perlu berwaspada.

Mereka yang berisiko tinggi terdiri daripada golongan berusia dan menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, masalah jantung dan mereka yang sentiasa memerlukan perubatan dari masa ke semasa.

“Jika kita mahu lebih selesa menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial, masyarakat mesti turut memikul tanggungjawab, lebih berdisiplin dan mesti menerapkan amalan norma baru kehidupan,” jelasnya.

Apabila kerajaan mula melonggarkan banyak sekatan atau larangan, ia bukan bermakna masyarakat bebas menjalankan aktiviti kehidupan seperti dahulu, tetapi amalan baharu wajar diamalkan.

“Semua harus menerima hakikat bahawa COVID-19 tidak dapat dihapuskan sepenuhnya, bagaimanapun jangkitannya boleh dielakkan dengan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan,” ujarnya.

Sementara itu, Abdullah menyampaikan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

Peruntukan RM60,000.00 kepada JKKK Kampung Pemanca Legak untuk menaiktaraf gelanggang sepak takraw di rumah panjang Nicholas, Sg Selidap dan RM12,000.00 kepada PIBG SK Sg Selidap untuk baikpulih jeti Sekolah Kebangsaan Sungai Selidap Meradong.

“JKKK boleh memohon peruntukan dana untuk melaksana projek kecil di kampung atau rumah panjang tetapi beberapa syarat mesti dipatuhi supaya dana tidak disalahguna. JKKK mesti bertanggungjawab untuk mempastikan akaun JKKK diurus dan direkod dengan baik,” tegasnya.

Advertisement