Anda di sini

Gunung berapi di kepulauan Sepanyol meletus buat pertama kali sejak 5 dekad

Advertisement
 

MADRID: Gunung berapi di pulau La Palma, Sepanyol meletus pada Ahad, memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Ini kali pertama gunung berapi Cumbre Vieja yang terletak di Kepulauan Canary, Lautan Atlantik itu meletus dan memuntahkan lava, asap dan debu, sejak 1971.

Anggota polis Sepanyol berkata pihaknya memindahkan antara 5,000 hingga 10,000 penduduk tempatan dari kawasan berkenaan, lapor Agensi Berita Anadolu.

Sementara itu, kepulan asap dan lava telah menjejaskan empat lebuh raya utama.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez pada Ahad menangguhkan perjalanannya ke New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebaliknya akan melawat ke La Palma.

Saintis Sepanyol mula mengesan peningkatan aktiviti gempa di kawasan berkenaan sejak lapan hari lalu, dan sekitar 25,000 gempa kecil direkodkan.

Beberapa saintis Sepanyol berkata letusan gunung berapi mungkin berterusan selama beberapa minggu.

Walaupun jarang berlaku, kejadian itu dilihat sebagai fenomena biasa dan tidak mempengaruhi aktiviti di lapangan terbang pulau kecil itu.

Presiden Kepulauan Canary Angel Victor Torres pada Ahad berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan setakat ini. - Bernama 

Advertisement